IPOH 23 Jun - Lebih 150,000 barangan sukan pelbagai jenama sedia untuk direbut pelanggan pada program jualan gudang Al-Ikhsan Sports di PHL Convention Center Ipoh, Menglembu di sini.
Potongan harga sehingga 80 peratus ditawarkan selain rebet tambahan mengikut jumlah pembelian pelanggan.
Jualan gudang ini berlangsung selama 10 hari sehingga 2 Julai yang bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Pengurus Pemasaran Sukan Al-Ikhsan, Abdullah Mohd. Arshad berkata, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak RM2 juta sepanjang tempoh tersebut.
Katanya, berbanding di tempat lain jualan gudang di Ipoh adalah yang terbesar kerana pihaknya membawa lebih banyak barangan sukan.
"Terdapat lebih 40,000 barangan sukan dijual bawah harga RM99 yang mana ini merupakan pembelian terbaik.
"Tahun ini Al-Ikhsan Sports tidak banyak menawarkan potongan harga di premis, jadi jualan gudang ini merupakan peluang yang tidak boleh dilepaskan," ujarnya.
Menurut beliau, potongan harga serta lain-lain tawaran yang diberikan ini juga membantu orang ramai menjimatkan perbelanjaan.
Katanya lagi, ini merupakan peluang terbaik untuk orang ramai yang ingin mendapatkan barangan sukan berkualiti.
"Jadi, orang ramai khususnya warga Ipoh dan penduduk Perak bolehlah datang ke sini untuk mendapatkan barangan sukan yang diinginkan.
"Bagi memastikan barangan mencukupi kita akan sentiasa menambah stok sepanjang tempoh jualan," ujarnya. - DagangNews.com