Malaysia kemuka bantahan kepada Vietnam berhubung pembinaan berterusan kemudahan di Kepulauan Spratly | DagangNews Skip to main content

Malaysia kemuka bantahan kepada Vietnam berhubung pembinaan berterusan kemudahan di Kepulauan Spratly

Imej menunjukkan pembangunan kemudahan oleh Vietnam di Kepulauan Spratly. Gambar/ FB Asia Maritime Transparency Initiative

KUALA LUMPUR 4 Nov - Malaysia mengemukakan bantahan kepada Vietnam berhubung pembinaan berterusan pelbagai kemudahan di sekitar Kepulauan Spratly, Laut China Selatan yang didakwa melanggar hak yang dituntut oleh kedua-dua negara, dalam satu perselisihan yang jarang berlaku tanpa melibatkan China.

 

Menurut dua pegawai kepada Reuters, langkah itu memperlihatkan satu lagi pertikaian di laluan strategik tersebut, yang kebanyakannya dituntut oleh China, dengan Beijing kerap terlibat dalam pertikaian dengan Filipina dan Vietnam.

 

Kawasan maritim yang menjadi rebutan adalah sekitar Kepulauan Spratly, di mana China, Taiwan, Malaysia, Vietnam, Brunei dan Filipina mempunyai pelbagai tuntutan dan tahap penguasaan.

 

Surat bantahan Malaysia dihantar ke Kementerian Luar Vietnam pada awal Oktober 2024, tetapi sehingga kini belum menerima sebarang balasan, kata kedua-dua pegawai itu yang enggan dikenali.

 

Aduan itu berkaitan dengan dakwaan pembinaan pelbagai kemudahan oleh Vietnam di Terumbu Barque Canada, sebuah pulau kecil di Spratly di mana negara tersebut telah membangunkan pelbagai infrastruktur.

 

Perkara tersebut didedahkan menerusi gambar satelit pada Oktober 2024 yang dianalisis oleh badan pemikir yang berpusat di Washington, Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa.

 

Pada akhir bulan sama, Radio Free Asia melaporkan bahawa Vietnam juga sedang membina landasan kapal terbang di terumbu berkenaan.

 

Kedua-dua negara menerusi kementerian luar masing-masing enggan memberikan ulasan lanjut.

 

Pelbagai kemudahan dibina di sekitar kepulauan terbabit oleh negara-negara terlibat bagi mengukuhkan tuntutan wilayah mereka.

 

Setakat ini, aktiviti China di kawasan maritim itu paling menonjol dengan tujuh pulau dibina di terumbu yang tenggelam, dilengkapi dengan landasan kapal terbang, limbungan kapal, menara kawalan dan penempatan peluru berpandu.

 

Walaupun pertelingkahan antara Malaysia dan Vietnam jarang berlaku, Malaysia sering mengadu tentang pencerobohan oleh nelayan Vietnam ke dalam Zon Ekonomi Eksklusifnya, yang menyebabkan penahanan beberapa kru. - DagangNews.com