Alam Maritim kongsi aset, teknologi bersama SAFEEN Survey and Subsea Services dalam industri minyak dan gas | DagangNews Skip to main content

Alam Maritim kongsi aset, teknologi bersama SAFEEN Survey and Subsea Services dalam industri minyak dan gas

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Jan - Alam Maritim Resources Berhad memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama SAFEEN Survey and Subsea Services bagi berkongsi pengalaman, aset dan keupayaan marin serta teknologi proprietari ke dalam industri minyak dan gas.

 

Perjanjian itu melibatkan sektor minyak dan gas huluan di Malaysia dan rantau ini menerajui kepimpinan Alam Maritim.

 

Alam Maritim dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, perjanjian itu bertujuan menyatukan pengalaman, kepakaran dan aset semua pihak terlibat dalam bidang masing-masing untuk manfaat bersama.

 

"Pada masa sama ia bertujuan menyelaraskan keupayaan dan teknologi proprietari masing-masing ke dalam industri minyak dan gas terutamanya sektor minyak dan gas huluan di Malaysia dan rantau yang diterajui oleh kepimpinan Alam Maritim dalam kapal perkhidmatan luar pesisir (OSV) dan sektor Subsea.

 

"Sinergi melalui MOU itu bertujuan mempromosikan penyelesaian operasi dan komersial yang paling cekap, memberikan nilai ekonomi skop dan skala kepada sektor minyak dan gas di Malaysia serta Asia Tenggara.

 

"Setelah mengenal pasti projek sasaran tersebut, pihak-pihak akan melaksanakan perjanjian bidaan bersama khusus dan/atau perjanjian kerjasama dan/atau mana-mana perjanjian lain dan membangunkan rancangan sewajarnya," katanya.

 

Menerusi perjanjian itu, pihak-pihak yang terlibat bebas berbincang serta menjalinkan kerjasama secara eksklusif selain menyatakan persefahaman terhadap sebarang cadangan kerjasama.

 

Perjanjian itu dijangka tidak memberi sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham utama serta aset bersih, pendapatan dan pendapatan sesaham Alam Maritim.

 

"Kesan kewangan daripada cadagan kerjasama hanya boleh ditentukan apabila perjanjian bidaan bersama khusus dan/atau perjanjian kerjasama dan/atau mana-mana perjanjian lain," katanya. - DagangNews.com