KUALA LUMPUR 19 Sept - Pelabur asing terus menjual ekuiti tempatan berjumlah RM186.2 juta pada minggu berakhir 15 September, meningkat lebih empat kali ganda berbanding minggu sebelumnya di sebalik hari dagangan yang lebih pendek berikutan cuti umum Hari Malaysia.
Penjualan bersih yang lebih tinggi itu mungkin berpunca daripada inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan data di Amerika Syarikat (AS) mendorong pelabur menjangkakan satu lagi kenaikan kadar yang agresif oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).
Laporan aliran dana mingguan MIDF Research mendapati pelabur asing membeli ekuiti tempatan pada Isnin sebanyak RM47.5 juta sebelum kembali menjual ekuiti mulai Selasa dan seterusnya.
"Aliran keluar secara pukal direkodkan pada Khamis sebanyak RM153.8 juta, manakala jumlah aliran keluar yang direkodkan pada Selasa dan Rabu masing-masing ialah RM22.4 juta dan RM57.5 juta," katanya dalam laporan itu hari ini.
Sebaliknya, pelabur institusi tempatan yang telah membeli ekuiti bernilai RM91.3 juta pada minggu sebelumnya selepas lapan minggu merekodkan jualan bersih telah bertukar kepada penjual bersih sekali lagi minggu lalu, walaupun pada kadar yang jauh lebih rendah iaitu RM4.7 juta.
Pelabur institusi tempatan menjual ekuiti mulai Isnin dengan aliran keluar direkodkan sebanyak RM35.2 juta diikuti Selasa (RM40.8 juta) dan Rabu (RM12.6 juta).
"Bagaimanapun, mereka kembali membeli ekuiti berjumlah RM84 juta pada Khamis sebelum pasaran ditutup pada Jumaat," katanya.
Pada minggu lalu, pelabur runcit kembali membeli ekuiti tempatan sebanyak RM190.8 juta berbanding jualan RM48.8 ekuiti pada minggu sebelumnya.
"Dengan memulakan dagangan pada Isnin dengan menjual RM12.3 juta, mereka kemudiannya kembali membeli ekuiti pada Selasa sebanyak RM63.2 juta, Rabu (RM70.1 juta) dan Khamis (RM69.9 juta)," tambahnya.
MIDF Research berkata, aliran masuk asing setakat ini berjumlah RM7.93 bilion dalam tempoh 24 daripada 37 minggu manakala pelabur institusi tempatan mencatat aliran keluar RM9.91 bilion dalam tempoh 29 minggu.
Pelabur runcit pula muncul pembeli bersih ekuiti selama 24 minggu dengan pembelian ekuiti berjumlah RM1.98 bilion.
Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan nilai purata dagangan harian bagi pelabur runcit, pelabur institusi tempatan dan pelabur asing dengan masing-masing meningkat 14.7%, 5.1% dan 58.3%. - DagangNews.com