KUALA LUMPUR 29 Julai - Aliran keluar jangka pendek yang telah ditetapkan awal bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing, termasuk pembayaran balik berjadual pinjaman luar negara oleh Kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank mata wang asing Bank Negara adalah berjumlah AS$8.15 bilion (kira-kira RM36.26 bilion) dalam tempoh 12 bulan akan datang, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Aliran masuk mata wang asing diunjur berjumlah AS$2.12 bilion dalam tempoh 12 bulan akan datang, tambah Bank Negara.
Bank pusat itu berkata, pecahan terperinci rizab antarabangsa adalah berdasarkan format Standard Penyebaran Data Khas (IMF SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa, yang menyediakan maklumat berpandangan ke hadapan mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab dan aset mata wang asing yang lain, serta jangkaan dan potensi aliran masuk dan keluar pertukaran asing kerajaan persekutuan dan BNM pada masa hadapan dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Selaras dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, BNM berkata data itu tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing yang timbul daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.
Ia berkata satu-satunya pengeluaran bersih jangka pendek luar jangka bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan bagi hutang mata wang asing yang perlu dibayar dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$401.6 juta.
"Tiada pinjaman mata wang asing dengan pilihan terbenam, tiada saluran kredit tanpa syarat yang belum dikeluarkan yang disediakan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain.
"Bank Negara Malaysia juga tidak terlibat dalam pilihan mata wang asing berbanding ringgit," kata BNM dalam kenyataan di sini hari ini.
Kedudukan hadapan pendek yang berjumlah AS$14 bilion pada akhir Jun 2022 mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang, kata BNM.
Selain itu, aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$109.03 bilion pada akhir Jun 2022, manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$5.9 juta dalam tempoh yang sama, kata BNM. - DagangNews.com