KUALA LUMPUR 6 Jun - Aliran masuk bersih dana asing ke Malaysia kekal konsisten dengan jumlah RM7.4 bilion setakat ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut beliau, sepanjang suku pertama tahun 2022, pelaburan langsung asing bersih meningkat kepada RM24.4 bilion, berbanding RM18.4 bilion pada suku keempat tahun lalu manakala jumlah perdagangan luar, berkembang sebanyak 23.6 peratus kepada RM624.9 bilion,
"Kerajaan Tuanku, kekal komited untuk melonjakkan prestasi perdagangan dan pelaburan negara, termasuk memastikan pelaburan langsung domestik terus dirangsang.
"Bagi mencapai matlamat itu, Kerajaan Tuanku akan terus memastikan urusan para pemain industri dipermudahkan dan sistem penyampaian perkhidmatan awam dipertingkatkan.
"Langkah-langkah yang diambil ini, mendorong keyakinan komuniti pelabur antarabangsa terhadap prospek pertumbuhan, sekali gus kemajuan ekonomi negara kekal
teguh,'' kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap pada majlis istiadat sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Negara hari ini.
Turut bersama ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Ismail Sabri berkata, usaha Kerajaan Tuanku untuk memulihkan ekonomi pasca pandemik semakin berhasil dan berada pada momentum terbaik.
"Terkini, ekonomi negara telah mencatat pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus pada tahun 2021, berbanding penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada tahun sebelumnya.
"Bagi tahun ini, Kerajaan Tuanku bertekad memacu ekonomi untuk mencapai pertumbuhan di antara 5.3 peratus sehingga 6.3 peratus, sebagaimana yang diunjurkan,'' kata beliau.
Perdana Menteri berkata, pembukaan sempadan juga telah merancakkan usaha pemulihan ekonomi, khususnya sektor pelancongan dengan peningkatan kemasukan pelancong asing.
"Seramai dua juta pelancong asing dijangka mengunjungi Malaysia pada tahun ini, yang akan menyumbang sebanyak RM8.6 bilion kepada ekonomi negara,'' kata beliau.
Perdana Menteri berkata, krisis ekonomi yang berlaku akibat pandemik dan kini konflik Rusia-Ukraine telah mengakibatkan Malaysia, rantau Asia, juga rantau lain di dunia mendapat bahananya.
Menurutnya, rantaian bekalan global yang terjejas akibat fenomena ini, telah menyebabkan harga bahan makanan dunia meningkat melebihi 30 peratus dan kesan ini turut dirasai di negara ini.
"Sehubungan itu, Kerajaan Tuanku mengambil pendekatan berhati-hati terhadap perkembangan global terkini, khususnya isu bekalan makanan dan kenaikan harga bahan makanan yang pastinya akan menjejaskan kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Bagi menangani masalah ini, Kerajaan Tuanku telah pun mengumumkan beberapa tindakan jangka pendek seperti;
● Membatalkan kelulusan kuota import (AP) barangan makanan dari luar negara serta-merta.
● Menyekat pengeksportan ayam ke luar negara.
● Memperkenalkan bantuan kewangan secara terus kepada rakyat terutamanya golongan B40 mulai 1 Julai ini.
● Mewujudkan Tabung Agromakanan dengan dana berjumlah RM500 juta melalui pemberian pinjaman mudah kepada pemain-pemain industri agromakanan.
● Mewujudkan stok penimbal untuk ayam, daging dan ikan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi.
Perdana Menteri berkata, lima langkah jangka pendek ini merupakan pendekatan Kerajaan Tuanku dalam melindungi seluruh Keluarga Malaysia daripada beban kenaikan harga barangan, selain pelbagai subsidi yang dijangka mencecah RM71 bilion tahun ini.
"Langkah jangka pendek ini disusuli dengan beberapa langkah jangka masa sederhana dan jangka masa panjang untuk menstabilkan bekalan dan harga makanan,'' kata beliau.
Bagi memastikan setiap Keluarga Malaysia tidak tercicir dalam arus pembangunan negara kata Perdana Menteri, Kerajaan Tuanku sentiasa menambah baik program agenda perlindungan sosial di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, kerajaan Tuanku telah melaksanakan fasa pertama Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia pada bulan lepas, melibatkan 80 lokaliti bandar, luar bandar termasuk perkampungan Orang Asli bagi membawa mereka keluar dari kepompong kemiskinan.
"Kehidupan rakyat miskin dan berpendapatan rendah terus dibela, supaya mereka dapat menikmati kehidupan yang selesa," kata beliau. - DagangNews.com