Aliran masuk bon asing meningkat kepada RM5.6 bilion pada Ogos - RAM Ratings | DagangNews Skip to main content

Aliran masuk bon asing meningkat kepada RM5.6 bilion pada Ogos - RAM Ratings

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Sept - Jumlah pegangan bon asing bersih Malaysia melonjak kepada RM5.6 bilion pada Ogos 2022 selepas dua bulan berturut-turut mencatatkan aliran keluar bersih. 

 

Ini berikutan selera asing untuk bon pasaran pesat membangun kembali pulih pada bulan tersebut, demikian menurut RAM Ratings dalam kenyataannya hari ini.

 

Agensi penarafan kredit itu berkata, pada Ogos 2022, pelabur asing membeli Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) bernilai RM3.6 bilion, RM1.9 bilion untuk Bil Perbendaharaan Malaysia dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia serta bon korporat bernilai RM69.1 juta.

 

“Memandangkan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kukuh baru-baru ini berjaya meredakan kebimbangan mengenai kemerosotan pesat ekonomi, sentimen penghindaran risiko global telah berkurangan dalam kalangan pelabur,” katanya seperti dilapor Bernama.

 

RAM Ratings berkata, hasil MGS 10 tahun meningkat paling banyak, mengukuh 8.6 mata asas bulan ke bulan kepada 3.98%.

 

Perbezaan hasil antara MGS 10 tahun dan sekuriti Perbendaharaan AS (UST) 10 tahun terus mengecil, dengan purata 106 mata asas pada Ogos 2022 berbanding 116 mata asas pada Julai 2022.

 

"Ini disebabkan pelabur menjangkakan kenaikan kadar oleh Rizab Persekutuan AS akan berterusan bagi baki tahun ini," jelasnya.

 

Menurutnya, hasil UST meningkat lebih besar iaitu 48.0 mata asas bulan ke bulan kepada 3.42% pada Ogos 2022, dan aliran mengecil itu berterusan hingga September dengan sebaran hasil berpurata sekitar 74.4 mata asas pada 13 September 2022. -DagangNews.com