Aliran masuk pelabur asing dalam ekuiti Malaysia melonjak 2 kali ganda kepada RM786.1 juta minggu lepas – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Aliran masuk pelabur asing dalam ekuiti Malaysia melonjak 2 kali ganda kepada RM786.1 juta minggu lepas – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb - Pelabur asing meneruskan pembelian di Bursa Malaysia bagi minggu kelima berturut-turut, dengan aliran masuk RM786.1 juta pada minggu lepas, dua kali ganda lebih tinggi daripada RM352.9 juta minggu sebelumnya.

 

MIDF Research berkata, pelabur asing membeli bersih setiap hari, mencatatkan aliran masuk untuk 16 hari dagangan berturut-turut, iaitu pola dagangan yang kali terakhir dlihat pada Februari 2022. 

 

Aliran masuk tertinggi direkodkan pada Selasa berjumlah RM413.8 juta, hari ringgit jatuh ke paras terendah sepanjang masa sejak tahun 1998, tambahnya.

 

Menurut firma itu, pelabur asing telah membeli bersih RM2.3 bilion ekuiti tempatan setakat tahun ini. 

 

“Sektor yang mencatat aliran masuk asing tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM287.2 juta), utiliti (RM235.8 juta) dan tenaga (RM76.9 juta).

 

“Sektor dengan aliran keluar asing tertinggi terdiri daripada REIT (RM18.6 juta), perladangan (RM12.4 juta) dan pembinaan (RM4.4 juta),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Mengikut nilai, tiga saham dengan aliran masuk asing tertinggi adalah YTL Power International Bhd, Maybank dan Public Bank manakala tiga saham yang mencatat aliran keluar asing tertinggi adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ekovest Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK).

 

Berbanding pelabur asing, pelabur institusi tempatan meneruskan trend jualan bersih ekuiti tempatan untuk minggu kelima berturut-turut, dengan aliran keluar RM596.6 juta, dua kali ganda lebih tinggi daripada minggu sebelumnya pada RM277.5 juta.

 

Sementara itu, pelabur runcit mengekalkan jualan bersih bagi minggu ketiga berturut-turut, dengan aliran keluar mencecah RM189.6 juta minggu lepas.

 

“Dari segi pergerakan pelabur, purata nilai dagangan harian (ADTV) meningkat merentasi semua kelas pelabur dengan pelabur runcit tempatan menyaksikan lonjakan 29.9% manakala pelabur institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing naik 26.6% dan 21.6%,” tambahnya. - DagangNews.com