Aliran tunai dan kelestarian jadi kepentingan dalam Laporan Pasukan Khas Felda | DagangNews Skip to main content

Aliran tunai dan kelestarian jadi kepentingan dalam Laporan Pasukan Khas Felda

Felda

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Dua perkara penting ditekankan dalam penyediaan Laporan Pasukan Khas Menangani Isu Felda iaitu berkaitan aliran tunai dan kelestarian organisasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, laporan tersebut juga telah siap untuk dibentangkan kepada Kabinet.

"Pelbagai cadangan telah dibuat, tapi yang penting adalah untuk dua perkara iaitu menyelesaikan beberapa masalah jangka pendek khususnya aliran tunai yang dihadapi Felda serta memastikan ia menjadi sebuah organisasi yang lestari.

"Bagi merealisasikan dua perkara tersebut, penting untuk meneliti model baharu Felda," jelasnya seperti dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perbincangan Meja Bulat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC)-Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pembasmian Kemiskinan dan Menangani Kerentanan dalam Normal Baharu di Putrajaya.

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed

 

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan penubuhan pasukan petugas khas bagi mencari kaedah terbaik untuk memastikan kemapanan kewangan dan kelestarian organisasi berkenaan.

Laporan pasukan khas tersebut turut dibuat susulan pembentangan kertas putih Ke Arah Kelestarian Felda di Parlimen pada April tahun lepas.

Jelas beliau, laporan itu telah dikemukakan oleh pengerusi pasukan khas berkenaan iaitu Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Mengulas berkaitan laporan yang telah disiapkan itu, beliau memberitahu, laporan itu disiapkan selepas beberapa sesi libat urus diadakan termasuk bersama pihak pengurusan Felda.

"Kita hampir ke penghujung, kita dalam proses untuk pergi kepada Kabinet dan membincangkan perkara itu dalam masa terdekat," jelasnya lagi. - DagangNews.com