KUALA LUMPUR 26 Julai – Kelab rasmi penyokong Liverpool FC, All Reds Malaysia (ARM) akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan kesembilan di Kuantan pada 30 Julai ini, setelah dua tahun terpaksa menggunakan kaedah persidangan video disebabkan pandemik COVID-19.
Presiden ARM, Muzili Aznor Musa berkata, lebih 100 ahli dari seluruh negara dijangka menghadiri mesyuarat tersebut yang dipenuhi dengan pelbagai acara menarik.
Antaranya ialah pertandingan bolasepak antara wilayah mengikut format pentadbiran ARM iaitu Utara, Timur, Tengah, Selatan dan Borneo pada sebelah pagi.
“Mesyuarat AGM akan diadakan di Kosmo Business Hotel pada 8 malam dan dijangka membincangkan beberapa usul daripada ahli.
“Pemilihan hanya akan diadakan pada tahun hadapan, jadi ini memberi peluang kepada ahli-ahli untuk berbincang dengan mendalam aktiviti yang hendak diadakan bagi musim 2022/2023 ini,’’ katanya kepada DagangNews.com di sini hari ini.
Selepas mesyuarat, ahli-ahli ARM akan menonton siaran langsung perlawanan Community Shield iaitu acara pembukaan musim antara Liverpool menentang Manchester City.
Menurut Muzili, format ARM ialah menggilir-gilirkan tuan rumah mengikut wilayah dan kali ini jatuh kepada wilayah Pantai Timur, di mana AJK wilayah memilih Pahang sebagai tuan rumah.
Sementara itu, beliau berkata, ahli-ahli boleh mengemukakan usul atau cadangan kepada kelab sebelum 27 Julai 2022 menggunakan pautan yang sudah diedarkan menerusi e-mel dan WhatsApp.
Antara usul yang ada dikemukakan ialah supaya sekretariat memanjangkan tempoh pendaftaran ahli baru yang bakal ditutup pada 31 Julai ini kepada sekurang-kurangnya sebulan lagi.
“Kita akan bincang lagi dan perhalusi bersama ahli-ahli. Cabarannya ialah lagi lambat kita tutup, lagi lambatlah kit keahlian dapat disiapkan dan dihantar kepada ahli-ahli,” jelas beliau. – DagangNews.com