KUALA LUMPUR 28 Mac - Kelab rasmi penyokong Liverpool, All Reds Malaysia (ARM) merancang untuk mengadakan lebih banyak aktiviti untuk ahli-ahli terutama selepas sambutan Aidilfitri Mei nanti, seiring dengan matlamatnya mengeratkan lagi silaturahim lebih 1,500 ahlinya di seluruh negara.
Timbalan Presiden ARM, Wan Zamarudin Mohd Yusuf berkata, antara program yang dirancang ialah acara menonton perlawanan, acara sukan antara negeri dan juga melawat Stadium Anfield di Liverpool.
Menurut beliau, seiring dengan negara melangkah ke fasa endemik, ARM akan mengatur program-program yang lebih menarik untuk ahli-ahli dan juga ahli keluarga mereka selepas dua tahun tidak dapat bergerak secara aktif disebabkan perintah kawalan pergerakan COVID-19.
Beliau berkata, ARM juga akan melakukan proses pembaharuan keahlian ahli-ahli dan juga mendaftar ahli-ahli baharu tidak lama lagi.
''Ramai ahli yang berminat untuk ke Anfield untuk menonton secara langsung perlawanan pasukan Liverpool FC, dan kita akan aturkan berdasarkan siapa cepat dia dapat,'' katanya.
Beliau berkata demikian semasa acara boling anjuran ARM di Sunway Pyramid pada 27 Mac 2022, yang disertai hampir 200 ahli yang datang dari seluruh negara.
Portal DagangNews.com adalah sebahagian daripada penaja acara ini yang diwakili Pengarang Urusan, Johardy Ibrahim.
Wan Zamarudin berkata, ahli-ahli juga dipelawa menyertai permainan bola sepak yang diadakan dua kali sebulan di Shah Alam dimana syaratnya pemain mesti memakai jersi Liverpool.
''Acara bola sepak padang ini juga semakin digemari di mana secara purata hampir 30 pemain hadir untuk bergilir-gilir bermain dalam tempoh dua jam,'' katanya.
Menurutnya, semua acara sukan seumpamanya diadakan bagi memberi peluang ahli-ahli saling mengenali dan mengeratkan persahabatan atas nama kelab Liverpool FC yang mereka sokong ini.
ARTIKEL BERKAITAN: All Reds Malaysia turut sama bantu mangsa banjir
Acara boling di Sunway Pyramid pula diadakan pada 26 Mac, pada asalnya dijadualkan pada Januari lepas tetapi ditangguhkan berikutan banjir besar melanda Lembah Klang pada Disember dengan ahli-ahli ARM berkumpul melakukan kerja amal memberi sumbangan dan membersihkan rumah ahli-ahli yang terjejas. - DagangNews.com