Alliance Bank bolot 12 anugerah transformasi digital, insiatif ESG Marketing Excellence Awards 2023 | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank bolot 12 anugerah transformasi digital, insiatif ESG Marketing Excellence Awards 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Dis - Alliance Bank Malaysia Bhd merangkul 12 anugerah untuk transformasi digital dan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) pada Marketing Excellence Awards 2023, baru-baru ini.

 

Pencapaian itu mengesahkan kejayaan strategi transformasi Acceler8 serta komitmen bank untuk memenuhi pelbagai keperluan pelanggannya dengan menyampaikan rumusan dan perkhidmatan berbeza yang relevan.

 

Bank tersebut memperoleh kemenangan dalam kategori seperti Kecemerlangan dalam Transformasi Pemasaran (Pingat Emas) dan Kecemerlangan Pemasaran B2B (Pingat Emas dan Gangsa).

 

Selain itu, bank meraih anugerah Kecemerlangan dalam Pemasaran Mudah Alih (Pingat Emas dan Gangsa), Kecemerlangan dalam Pemasaran Digital (Pingat Perak) serta sebagai Kecemerlangan dalam CSR/Cause Marketing (Pingat Gangsa).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, anugerah itu adalah bukti strategi baharu membuahkan hasil ketika pihaknya berusaha untuk memberikan hasil unggul, menjadikan mereka rakan kongsi perbankan pilihan pelanggan. 

 

"Berpandukan tujuan jenama baharu kami, 'The Bank for Life', pengiktirafan ini menekankan komitmen teguh kami untuk menyediakan rumusan yang berbeza dan perkhidmatan pelanggan berdasarkan keaslian, integriti dan pemperibadian. 

 

"Kami akan terus berusaha ke arah membina rumusan lebih baik dan lebih inovatif untuk membantu pelanggan dan perniagaan kami mencapai matlamat mereka," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Sebagai sebahagian daripada transformasi pemasaran Alliance Bank, pihaknya melaksanakan strategi serampang memfokuskan pendekatan "hasil dan berasaskan prestasi" yang mana mengoptimumkan perbelanjaan aktiviti pemerolehan digital dan melabur dalam pembangunan aplikasi digital untuk pemerolehan pelanggan yang lancar. 

 

Sepanjang dua tahun lalu, pemerolehan pelanggan digital telah melonjak dan kini menyumbang kira-kira 50% daripada perniagaan baharu.

 

Untuk rumusan pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digitalnya yang mana bank memenangi emas bagi kecemerlangan dalam pemasaran B2B, portfolio pinjaman meningkat daripada RM65 juta pada 2022 kepada jumlah terkumpul lebih daripada RM200 juta pada awal Januari 2023. 

 

Sementara itu, kempen BizSmart eTrade Alliance Bank yang memperoleh gangsa, merupakan kejayaan memberangsangkan kerana bank berjaya mencapai peningkatan sebanyak 84% dalam pengaktifan aplikasi mudah alih semasa tempoh kempen. - DagangNews.com