Alliance Bank lancar 3 penyelesaian perbankan digital | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank lancar 3 penyelesaian perbankan digital

Alliane Bank

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) melancarkan penyelesaian perbankan digital untuk membantu memudahkan lagi urusan para pelanggan.

Penyelesaian digital yang disediakan adalah pembukaan akaun simpanan segera, permohonan kad kredit dan pinjaman peribadi yang boleh dibuat melalui aplikasi allianceonline.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich berkata, penyelesaian digital itu dimantapkan dengan penggunaan teknologi pengesahan identiti Digital Know Your Customer (e-KYC) hasil kerjasama syarikat CTOS Data Systems Sdn. Bhd.

"Oleh kerana persekitaran semasa, kami melihat penggunaan digital lebih diperlukan oleh pengguna disebabkan penjarakan fizikal dan faktor keselamatan.

"Perkhidmatan pembukaan akaun digital segera, permohonan kad kredit dan pinjaman peribadi adalah contoh tepat untuk kami memenuhi keperluan pelanggan kami.

 

Joel Kornreich
Joel Kornreich

 

"Perkhidmatan ini memberi pilihan, fleksibiliti, dan kemudahan. Kami memanfaatkan peluang digital ini untuk memberi pengalaman yang lebih baik, cepat dan lebih responsif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam tinjauan yang dijalankan oleh Alliance Bank semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua per tiga pelanggan bank lebih gemar menggunakan perkhidmatan dalam talian untuk membuat pembukaan akaun.

Sebanyak 60% pelanggan menyatakan mereka tidak cenderung untuk mengunjungi cawangan bank untuk melakukan transaksi susulan situasi pendemik COVID-19 yang sedang menular.

Menyedari keterbatasan sesetangah pelanggan dalam menggunakan aplikasi dalam talian, Alliance Bank menawarkan pilihan untuk meminta bantuan dari jarak jauh melalui butang yang perlu ditekan semasa melakukan proses pembukaan akaun digital atau permohonan kredit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital, Dennis Martin berkata, Alliance Bank telah menjadi pelanggan CTOS yang sangat strategik selama bertahun-tahun dan berperanan dalam transformasi digital.

 

Dennis Martin

 

"Penyelesaian CTOS e-KYC adalah standard emas dalam pengesahan identiti digital yang akan membolehkan pelanggan mengakses rangkaian produk digital Alliance Bank dari jarak jauh, cepat dan selamat, bila-bila masa, di mana sahaja," jelasnya.

Bersempena dengan pelancaran tersebut, Alliance Bank mengajak pelanggan untuk membuat permohonan secara dalam talian melalui pautan www.alliancebank.com.my/savespendborrow untuk merasai pengalaman baharu aplikasi digital.

Seramai 200 pelanggan terawal turut berpeluang menikmati kadar faedah khas dan pulangan tunai pada akaun simpanan, kad kredit dan pinjaman peribadi. - DagangNews.com