Allianz General lancar perlindungan bantuan tepi jalan untuk kenderaan barangan | DagangNews Skip to main content

Allianz General lancar perlindungan bantuan tepi jalan untuk kenderaan barangan

(Dari kiri) Timbalan Ketua Pegawai Jualan Allianz General, Sazali Abd Rahman, Horst Habbig dan Ketua Pegawai Tuntutan Allianz General, Damian Williams ketika pelancaran Allianz Truck Warrior pada 9 Februari 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb - Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd melancarkan Allianz Truck Warrior, manfaat tambahan bagi menyediakan bantuan tepi jalan untuk pemegang polisi Kenderaan Barangan Allianz (komprehensif) yang terlibat dalam kemalangan atau mengalami kerosakan. 

 

Manfaat ini juga merupakan perlindungan pertama seumpamanya yang mula dikeluarkan pada 12 Januari 2023. 

 

Dengan Allianz Truck Warrior, pemegang polisi boleh menikmati perkhidmatan bantuan tepi jalan sehingga tiga kali setahun, penundaan kenderaan barangan mereka sehingga 100 kilometer (km) dua hala dengan trak tunda Allianz.

 

Ia termasuk perkhidmatan pembaikan di lokasi kejadian untuk kerosakan dan elaun bantuan banjir sehingga RM5,000 untuk setiap kejadian banjir. 

 

Untuk mendapatkan manfaat tersebut, pelanggan hanya perlu membeli polisi insurans motor dan menambah sebanyak RM120 untuk mendapatkan Allianz Truck Warrior. 

 

Ketua Pegawai Jualan Allianz General, Horst Habbig berkata, dengan Allianz Truck Warrior, pihaknya menawarkan penyelesaian tempoh menunggu, tawar-menawar dan rundingan dengan hanya RM120.

 

"Anda tidak perlu menunggu lama untuk sebuah trak tunda dan produktiviti tidak akan terjejas teruk kerana kami akan membantu anda, tepat pada masa yang anda perlukan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Katanya, untuk melayakkan diri mendapat perlindungan tersebut, kenderaan barangan tersebut mesti mempunyai permit A dan C dengan Perlindungan Komprehensif, sehingga 7.5 tan berat dengan muatan, dan usia kenderaan tidak melebihi 20 tahun. 

 

"Berdasarkan statistik daripada Laporan Perkhidmatan Insurans Malaysia, terdapat dalam 670,000 buah kenderaan barangan yang diinsuranskan pada 2021.

 

"Oleh itu, perkhidmatan tambahan yang kami tawarkan ini adalah sesuatu yang boleh dimanfaatkan pemilik kenderaan barangan, dan ini melengkapkan rangkaian perkhidmatan kami," katanya.

 

Tambah beliau, pihaknya berbangga kerana menjadi satu-satunya penanggung insurans yang menawarkan perkhidmatan tambahan ini," katanya. - DagangNews.com