Alpha IVF sasar kumpul RM466.5 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Alpha IVF sasar kumpul RM466.5 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Mac - Pusat rawatan kesuburan, Alpha IVF Group Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM466.5 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) selepas disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu berkata, pelaksanaan IPO itu melibatkan sejumlah 1,458.0 juta saham biasa dalam Alpha IVF berharga RM0.32 sesaham, terdiri daripada 364.5 juta saham baharu dan 1,093.5 juta saham tawaran untuk jualan daripada lapan penawar.

 

Katanya daripada perolehan IPO RM466.5 juta yang disasarkan, RM116.6 juta akan terakru kepada kumpulan Alpha IVF, manakala baki RM349.9 juta akan terakru sepenuhnya kepada penawar. 

 

"Daripada jumlah hasil sebanyak RM116.6 juta yang diterima oleh Kumpulan Alpha IVF, RM72.8 juta akan diperuntukkan untuk menubuhkan pusat IVF, klinik satelit dan pejabat wakil jualan baharu sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan mereka di dalam dan di peringkat antarabangsa.

 

"RM15.7 juta lagi akan diperuntukkan untuk pembesaran dan naik taraf pusat pakar, kemudahan dan pejabat korporat sedia ada, RM2.2 juta untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta baki RM25.9 juta untuk modal kerja am, tujuan am korporat dan membiayai perbelanjaan penyenaraian," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Alpha IVF, Datuk Dr Colin Lee Soon Soo berkata, IPO menandakan permulaan fasa baharu dalam strategi pertumbuhan kumpulan.

 

Beliau berkata, sejak penubuhan kumpulan, pihaknya mengalami pertumbuhan yang luar biasa, berkembang daripada 11 kakitangan kepada pasukan yang mempunyai lebih daripada 140 kakitangan. 

 

"Paling penting, kerja keras kami telah menghasilkan kelahiran lebih 7,000 bayi berharga di Malaysia dan di seluruh dunia.

 

"Melalui IPO ini, kami ingin mengumpul kira-kira RM116.6 juta dalam jumlah hasil untuk kumpulan Alpha IVF, yang akan membantu menyokong perbelanjaan modal dan keperluan modal kerja kami untuk pertumbuhan masa hadapan. 

 

"Tunjang pertama strategi pertumbuhan kami tertumpu pada pengembangan domestik, kerana kami menyasarkan untuk menubuhkan tiga pusat kesuburan penuh di Malaysia menjelang tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026," katanya.

 

Katanya, pihaknya juga berhasrat untuk berkembang ke peringkat antarabangsa dengan menubuhkan pusat pakar IVF tambahan dan empat klinik satelit di Indonesia. 

 

"Empat klinik satelit itu akan ditubuhkan di pelbagai bandar di Indonesia sebagai lanjutan daripada pusat pakar kami. Selain itu, kami merancang untuk meluaskan jangkauan kami dengan menubuhkan satu lagi pusat pakar di tempat lain di Asia Tenggara dan dua pejabat wakil jualan di China," katanya. - DagangNews.com