Alton Industry labur RM800 juta buka kilang pintar di Pontian | DagangNews Skip to main content

Alton Industry labur RM800 juta buka kilang pintar di Pontian

T Industrial Park

KUALA LUMPUR 17 Okt - T Industrial Park mencapai 100% penghunian untuk tiga daripada sembilan fasa taman perindustrian itu yang merangkumi 231.56 hektar, didorong oleh pelaburan RM800 juta daripada pembekal peralatan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Alton Industry Ltd Group.

 

T Industrial Park, yang terletak di hab perindustrian utama Pontian, Johor akan menempatkan Alton Intelligent Super Factory, dengan pelaburan yang dirancang sebanyak RM2 bilion pada tahun-tahun akan datang.

 

Pengarah Urusan T Industrial Park Sdn Bhd, Karen Lee, berkata T Industrial Park adalah antara zon perindustrian terbesar di Johor.

 

"Pengambilan kukuhnya adalah bukti kepada DNA pembangunan unik kumpulan dengan penekanan pada kemudahan, ketersambungan dan banyak lagi.

 

"Kami mengalu-alukan rakan kongsi seperti Alton Industry, dan mengharapkan kerjasama serupa pada masa hadapan," katanya.

 

Pada fasa awal, Alton Industry memperuntukkan RM800 juta untuk pembinaan Kilang Super Pintar Alton.

 

Pelaburannya ke dalam pembangunan itu akan merangkumi tapak asas pembuatan luar negara utamanya.

 

Kilang itu akan menyokong rekod prestasinya dalam pembangunan, pengeluaran dan penjualan peralatan aerodinamik dan pembersihan, alat ganti automotif, alat pneumatik taman, robot pintar dan banyak lagi.

 

Terletak dalam kawasan yang luas, pelaburan Alton Industry di T Industrial Park dibahagikan kepada tiga fasa.

 

Fasa awal merangkumi 45.2 ekar pembangunan Fasa 1 yang telah diambil sepenuhnya setakat ini.

 

Fasa kedua dan ketiga pelaburan Alton Industry masing-masing terdiri daripada kawasan seluas 109.4 ekar dan 245 ekar.

 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau mengalu-alukan pengembangan global Alton Group dengan pelaburan besar bagi memuka kemudahan di Johor yang dijangka siap pada 2024, sekali gus menunjukkan keyakinan terhadap daya tarikan negara ini sebagai destinasi pelaburan.

 

T Industrial Park akan memainkan peranan penting untuk merealisasikan wawasan kerajaan menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia dan mewujudkan pelbagai peluang pertumbuhan, dengan faktor-faktor penarik yang mantap, Berita Harian melaporkan.

 

Ini termasuklah sambungan yang baik dengan kedudukan berhampiran Jambatan Sungai Pulai yang baru disiapkan bagi mengurangkan masa perjalanan antara Pontian dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, pelabuhan kontena ke-15 paling sibuk dunia dari segi penghantaran kargo. - DagangNews.com