KUALA LUMPUR 5 Okt - Alumni Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Masscomm) Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak bersetuju dengan tindakan penggabungan fakulti itu dengan Fakulti Sains Komputer dan Matematik.
Presiden Alumni Masscomm UiTM, Basree Rakijan berkata, tindakan tersebut melemahkan pendidikan asas komunikasi massa iaitu penyampaian maklumat kepada orang ramai.
Beliau berkata, pelajar komunikasi hendaklah dilatih dengan kepakaran yang diamalkan menerusi pelbagai media seperti akhbar, majalah, radio, televisyen, filem, media sosial dan internet.
"Platform ini memerlukan kemahiran berfikir dan membuat analisis, kreativiti serta kepakaran mencipta kandungan. Malah sebenarnya, mata pelajaran yang sepatutnya diberikan penekanan adalah yang berkaitan dengan sains sosial dan kemanusiaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, penstrukturan semula pelbagai fakulti bertujuan menjimatkan kos itu diumumkan oleh Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor di dalam ucapan beliau pada majlis makan malam ulang tahun ke-50 fakulti tersebut baru-baru ini.
Menurut Naib Canselor, entiti baharu tersebut akan dikenali sebagai Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media.
Basree berkata, pihaknya amat mengalu-alukan jika satu sesi perbincangan dengan universiti dilakukan terlebih dahulu sebelum keputusan penggabungan dilakukan.
"Ahli Alumni Masscomm UiTM percaya ia dapat memberikan kefahaman mendalam betapa perlunya kita mengekalkan imej serta penjenamaan fakulti yang telah kita bina selama lebih lima dekad.
"Graduan kita telahpun membuktikan kemampuan mereka sebagai pemimpin industri di dalam bidang percetakan, penyiaran, pengiklanan, perhubungan awam, filem dan media sosial," katanya.
Tambah beliau, dalam persekitaran yang mana gejala salah maklumat berleluasa adalah penting untuk para pelajar dilatih sebagai komunikator yang baik.
“Walaupun pengajian komputer dan informasi itu sangat berfaedah, tetapi kepada para pelajar komunikasi ia adalah satu mata pelajaran teknikal yang hanya menjadi alat dalam penciptaan kandungan. Tambahan pula, kebelakangan ini pengamal media telahpun menerimapakai penggunaannya.
"Ini adalah antara isu yang perlu diselesaikan. Untuk tujuan ini, Alumni Masscomm merancang mengadakan perbincangan dengan UiTM bersama-sama pemegang taruh lain serta para wakil daripada pelbagai organisasi dalam industri," katanya. - DagangNews.com