Amanah Ikhtiar Malaysia salur bantuan segera RM100,000 bantu mangsa banjir | DagangNews Skip to main content

Amanah Ikhtiar Malaysia salur bantuan segera RM100,000 bantu mangsa banjir

Datuk Shabudin Yahaya (tengah) bersama Shamir Aziz (kanan) bertanyakan khabar kepada mangsa banjir, Juhaida Kamaruddin (kiri)  di pusat penempatan sementara Banjir di Dewan Serbaguna MBSJ pada 20 Disember 2021.

 

 

KUALA LUMPUR 20 Dis – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mengumumkan bantuan khas sebanyak RM100,000 kepada mangsa banjir khususnya kepada Sahabat AIM yang terkesan akibat fenomena Monsun Timur Laut yang melanda beberapa negeri sejak Sabtu lalu.

 

Bantuan yang diberi dalam bentuk barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak,  makanan dalam tin dan lain-lain itu, diumumkan oleh Pengerusi AIM, Datuk Shabudin Yahaya di sini hari ini.

 

Selain bantuan RM100,000 berkenaan yang akan disalurkan menerusi kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, AIM juga menyediakan tabung khas untuk Sahabat yang dilanda musibah.

 

Menerusi Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) berkenaan, ia membolehkan Sahabat membuat tuntutan mengikut kadar ditetapkan jika terkesan dalam kejadian banjir ataupun kemusnahan kediaman.

 

Sehingga 20 Disember 2021,  seramai 9,206 Sahabat AIM di Selangor, Pahang, Kelantan, Sabah, Terangganu, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Johor terkesan akibat banjir besar berikutan hujan turun tanpa henti sejak Jumaat lalu.

 

Sebahagian daripada mereka masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan tidak dapat menjalankan aktiviti ekonomi seperti biasa.

 

Shabudin serta Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz dan beberapa pengurusan kanan AIM sempat meninjau keadaan Sahabat di PPS Tanjung Karang dan beberapa lokasi lain sebagai tanda prihatin dan melihat keperluan segera yang boleh disalurkan.

 

Beliau berkata, AIM juga akan menggerakkan pasukan petugas di setiap cawangan  untuk membantu Sahabat-Sahabat di seluruh negara terutamanya dalam usaha membersih  kediaman dan membantu memulihkan perniagaan yang terjejas.

 

Beliau turut menasihati Sahabat supaya patuh kepada SOP dan arahan pihak kerajaan bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19. – DagangNews.com