AmanahRaya REIT lupus bangunan Contraves di Cyberjaya pada harga RM42.5 juta kepada 4X Software | DagangNews Skip to main content

AmanahRaya REIT lupus bangunan Contraves di Cyberjaya pada harga RM42.5 juta kepada 4X Software

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jun - AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn Bhd, syarikat pengurusan AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) menerusi Pacific Trustees Bhd memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan 4X Software Sdn Bhd bagi melupuskan bangunan Contraves yang terletak di Cyberjaya pada harga RM42.5 juta.

 

Pelupusan itu dibuat oleh Pacific Trustee bagi pihak AmanahRaya REIT.
 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, cadangan pelupusan itu adalah selaras dengan objektif pelaburan AmanahRaya REIT untuk mengimbangi semula portfolionya ke arah aset baharu yang berdaya tahan dan mampan.

 

Katanya, pengurus percaya selepas hampir lapan tahun memiliki hartanah itu, mereka telah memaksimumkan potensi penjanaan pendapatan bagi aset tersebut dan terdapat peningkatan terhad untuk pertumbuhan sewa masa hadapan dalam kapasiti semasanya sebagai pasaran pejabat biasa yang kini berada dalam situasi lebihan bekalan.

 

"Memandangkan harga yang menggalakkan bagi penjualan aset ini dan memanfaatkan penggunaan terbaik, ini adalah masa yang sesuai untuk melupuskan hartanah ini dan menggunakan semula modal ke arah hartanah yang berpotensi menjana hasil," katanya.

 

Katanya, hasil bersih cadangan pelupusan itu selepas ditolak semua yuran dan perbelanjaan akan digunakan bagi membayar balik pembiayaan sedia ada dan hasil berkesaan dijangka digunakan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh siap.

 

"Jangkaan keuntungan yang timbul daripada pelupusan itu adalah kira-kira RM1.2 juta dan tidak akan memberi kesan material kepada pendapatan AmanahRaya REIT bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

"Cadangan pelupusan itu bakan memberi kesan minimum kepada nisbah pembiayaan AmanahRaya REIT bagi jumlah aset yang belum diaudit pada 31 Mei 2024," katanya. - DagangNews.com