AmanahRaya REIT selesai jual Holiday Villa Beach Resort & Spa Langkawi bernilai RM145 juta | DagangNews Skip to main content

AmanahRaya REIT selesai jual Holiday Villa Beach Resort & Spa Langkawi bernilai RM145 juta

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Jan - AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) menerusi syarikat pemegang amanahnya Pacific Trustees Berhad, menyempurnakan urus niaga pelupusan Holiday Villa Beach Resort & Spa Langkawi pada harga RM145 juta.

 

Urus niaga itu akan menyaksikan ARREIT mengiktiraf keuntungan daripada pelupusan berjumlah RM45 juta. Keuntungan akan ditunjukkan dalam penyata kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY2024).

 

Pengarah Urusan AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn Bhd, Tunku Rozita Tunku Abdul Malek berkata, melalui penjualan itu, hasil boleh digunakan untuk pemerolehan baharu, dengan objektif untuk meningkatkan hasil keseluruhan portfolio aset mereka.

 

Katanya, daripada RM145 juta hasil, RM70 juta akan diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman. 

 

"Penggearan kasar ARREIT akan bertambah baik kepada 43.5% berdasarkan proforma, berbanding 45% daripada Jumlah Nilai Aset yang telah diaudit pada 31 Disember 2022.

 

"Dengan itu, kami berharap dapat mencipta nilai untuk pemegang unit kami, daripada segi peningkatan hasil dan peningkatan modal. 

 

"Kami kini sedang dalam proses menjajarkan semula portfolio aset kami untuk memasukkan aset hasil tinggi dalam sektor berdaya tahan, seperti pendidikan, kesejahteraan dan perindustrian (logistik/gudang)," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Aset tersebut ialah hotel peranginan pantai 4 bintang meliputi 238 bilik yang menduduki tiga bidang tanah pegangan bebas di Pantai Tengah, Langkawi. 

 

Pada Jun tahun lepas, Pacific Trustees memeterai Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan Plenitude Gateway Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Plenitude Berhad. - DagangNews.com