AmanahRaya, SPNB jalin kerjasama tawar pemilik Rumah Mesra Rakyat produk hibah, wasiat | DagangNews Skip to main content

AmanahRaya, SPNB jalin kerjasama tawar pemilik Rumah Mesra Rakyat produk hibah, wasiat

Anwar Ibrahim, Idrus Harun (kanan berdiri) dan Husam Musa menyaksikan Perjanjian Kerjasama Strategik AmanahRaya dan SPNB bagi membantu pemilik Rumah Mesra Rakyat membuat perancangan warisan di Putrajaya hari ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 April - Pemilik Rumah Mesra Rakyat akan secara automatik ditawarkan produk-produk terpilih Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) sebagai Perancangan Pewarisan seperti Hibah dan Wasiat ke atas rumah tersebut.

 

Ini susulan Perjanjian Kerjasama Strategik antara AmanahRaya dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan tema 'Amanah Terpelihara, Kediaman Terbina'.

 

Pemeteraian perjanjian antara AmanahRaya dan SPNB itu berlangsung di Putrajaya hari ini dan disaksikan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hadir sama Pengerusi SPNB, Tan Sri Idrus Harun dan Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa.

 

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Zahanuddin Kamarudin. 

 

Kerjasama tersebut bakal memanfaatkan rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 yang berjaya memohon Rumah Mesra Rakyat SPNB dengan pemilik akan secara automatik ditawarkan produk-produk terpilih AmanahRaya sebagai Perancangan Pewarisan seperti Hibah dan Wasiat ke atas rumah tersebut.

 

Sementara itu, Idrus berkata, AmanahRaya, yang diberi mandat sebagai Pemegang Amanah rakyat Malaysia lebih dari 100 tahun berbangga untuk mengadakan kerjasama strategik dengan SPNB ini. 

 

 

arb
Perjanjian Kerjasama Strategik antara AmanahRaya dan SPNB dengan tema 'Amanah Terpelihara, Kediaman Terbina' berlangsung di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya hari ini.

 

Katanya, inisiatif ini akan memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia mengenai kepentingan melaksanakan Perancangan Pusaka dan Pengurusan Harta melalui instrumen Hibah dan Wasiat untuk memelihara harta pusaka bagi waris-waris dan penerima yang berhak. 

 

"Ini dapat memastikan kebajikan waris-waris yang bakal ditinggalkan oleh pemilik rumah tersebut.

 

"Ia juga sejajar dengan kerangka Malaysia MADANI kerajaan kini,” kata Pengerusi AmanahRaya itu dalam kenyataan media hari ini.

 

Sementara itu, Husam berkata, kerjasama ini akan memberikan nilai tambah kepada produk SPNB terutamanya Program Rumah Mesra Rakyat dan manfaat kepada pemilik untuk memastikan kelangsungan pemilikan kediaman oleh pewaris pada masa akan datang dengan bayaran serendah RM1,000 sahaja.

 

rmr spnb
Kerjasama AmanaahRaya, SPNB bolehkan kebajikan waris-waris yang bakal ditinggalkan oleh pemilik Rumah Mesra Rakyat. - Gambar hiasan SPNB Rumah Mesra Rakyat.

 

"SPNB akan melaksanakan sebanyak 3,500 unit RMR pada tahun ini. Sehingga hari ini, SPNB telah melaksanakan sebanyak 66,195 unit di seluruh negara,” kata Pengerusi SPNB itu.

 

Menurut Husam, SPNB adalah sebuah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang ditubuhkan dan diasaskan oleh Perdana Menteri pada 21 Ogos 1997 untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti dan mampan kepada setiap keluarga di Malaysia sejajar dengan dasar perumahan negara. 

 

AmanahRaya dan SPNB adalah agensi milik penuh kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), Kementerian Kewangan Malaysia.- DagangNews.com