Pelabur asing jual RM1.37 bilion ekuiti tempatan pada April 2024, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual RM1.37 bilion ekuiti tempatan pada April 2024, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mei - Pelabur asing terus melepaskan ekuiti tempatan untuk bulan kedua berturut-turut dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM1.37 bilion pada April 2024 selepas mencatatkan aliran keluar RM2.88 bilion pada Mac lalu. 

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, penjualan berlaku selama 13 daripada 20 hari dagangan pada bulan tersebut.

 

"Ini menjadikan jualan bersih tahun setakat ini (Januari-April) kepada MYR2.25 bilion. Walaupun pelupusan berterusan, pegangan asing pasaran kekal tidak berubah bulan ke bulan pada 19.6%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jualan runcit meningkat kepada RM1 bilion pada April 2024 berbanding RM290 juta pada Mac lalu dengan jualan sudah bermula sejak Julai 2023.

 

Katanya, Institusi tempatan meperoleh RM2.37 bilion ekuiti tempatan pada April (Mac: RM3.17 Bilion).

 

"Aktiviti dagangan kekal teguh sebanyak RM3.07 bilion purata nilai dagangan (ADV) ekuti pada April (termasuk transaksi perniagaan secara langsung; Mac: RM3.23 bilion) dengan penyertaan asing lebih rendah iaitu 34.1% dan penyertaan runcit meningkat sehingga 21.3% (Mac: 19.5%)," katanya.

 

Maybank IB berkata, dana asing membeli RM1.7 bilion hutang Ringgit Malaysia pada Mac 2024, menamatkan kerugian tiga bulan berturut-turut pada Disember 2023 hingga Februari 2024.

 

Katanya, ia meningkatkan jumlah pemilikan asing kepada RM265.8 bilion (Feb: RM264.1 bilion). Bahagian asing Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan MGS+Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) adalah lebih rendah daripada bulan ke bulan iaitu 33.2% dan 31.7% setiap satu.

 

Jumlah aliran portfolio bertukar negatif pada Mac 2024 dengan RM1.2 bilion disebabkan jualan bersih asing yang besar untuk ekuiti tempatan sebanyak RM2.9 bilion, memadamkan semua aliran masuk daripada tiga bulan sebelumnya dan merupakan aliran keluar satu bulan terbesar daripada ekuiti sejak Mei/Jun 2020.

 

Bagi tiga bulan pertama 2024, aliran portfolio ialah negatif RM5.5 bilion.- DagangNews.com