Amanat Lebuhraya Rakyat berjaya tetapkan harga RM5.5 bilion Sukuk AAA | DagangNews Skip to main content

Amanat Lebuhraya Rakyat berjaya tetapkan harga RM5.5 bilion Sukuk AAA

Lebuhraya Shah Alam (KESAS) - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 29 Sept - Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) berjaya menetapkan harga RM5.5 bilion nilai nominal bagi Sukuk Murabahah Kemampanan penarafan AAA pada 23 September 2022.

 

Ia sekali gus menunjukkan syarikat swasta yang semua pemegang sahamnya bukan berasaskan keuntungan itu memenuhi syarat substantif bagi mengambil alih konsesi empat lebuh raya iaitu Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (SPRINT) dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART).

 

Bank-bank yang mewakili ALR berkata, minat pelabur terhadap Sukuk Murabahah Kemampanan ALR adalah kukuh seperti yang diwakili oleh lebihan langganan walaupun terdapat ketidaktentuan pasaran yang meningkat.

 

"Oleh itu, ALR telah melengkapkan syarat substantifnya dan sedang berusaha ke arah penyelesaian praktikal transaksi dengan Kerajaan Malaysia menerusi terbitan Sukuk Murabahah Kemampanan.

 

"Penyelesaian akhir dijangka dicapai pada awal hingga pertengahan Oktober 2022," katanya dalam satu kenyataan.

 

AmInvestment Bank Bhd, CIMB Investment Bank Bhd and Hong Leong Investment Bank Bhd sebagai penasihat utama bersama, pengatur utama bersama dan peneraju pengurus bersama untuk Program Sukuk Murabahah Kemampanan ALR.

 

Maybank Investment Bank Bhd, RHB Investment Bank Bhd dan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd sebagai pengurus utama bersama untuk Program Sukuk Murabahah Kemampanan ALR.

 

ALR adalah syarikat swasta yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 2016, pada lewat 2021 dengan tujuan semata-mata untuk menjalankan perniagaan sebagai syarikat induk konsesi lebuh raya.

 

ALR dan anak syarikatnya akan dipantau oleh lembaga pengarahnya, manakala empat syarikat konsesi yang terbabit akan terus beroperasi seperti biasa dengan pasukan pengurusan sedia ada bersama kesemua kakitangannya yang akan melaksanakan penyelenggaraan lebuh raya, sejurus cadangan pembelian konsesi-konsesi dimuktamadkan.

 

Lembaga Pengarah ALR mempunyai tugas fidusiari penuh terhadap penyedia modal syarikat, dan Lembaga Pengarah ALR juga adalah pemegang sahamnya dan pemegang saham ALR adalah Lembaga Pengarahnya.

 

Pemegang saham ALR adalah tidak bertujuan keuntungan dan dengan itu, tidak dibenarkan mengeluarkan apa-apa dividen atau pengeluaran keuntungan daripada ALR.

 

Oleh kerana itu, semua dan sebarang keuntungan yang dihasilkan melalui operasi empat lebuh raya berkenaan wajib disalurkan untuk kemantapan hutang dan bayaran balik awal hutang kewangan ALR dan ketetapan ini adalah semata-mata untuk kepentingan rakyat pengguna lebuh raya kerana ALR wajib memulangkan konsesi kepada kerajaan, sejurus selepas kesemua hutang kewangannya telah pun dilunaskan dengan sepenuhnya. - DagangNews.com