Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Okt. - Freight Management Holdings Berhad (FMH) berpotensi menyaksikan pendapatan bersih kumpulan pada tempoh tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24 melonjak antara 4.1% hingga 5.3%.
Unjuran itu dibuat firma penyelidikan, CGS-CIMB Research selepas pengambilalihan kumpulan ke atas tiga syarikat dari Amerika Syarikat (AS), dengan andaian keuntungan selepas cukai (PAT) kesemua syarikat itu kekal mendatar.
Kata penganalisisnya, Walter Aw, memandangkan pengambilalihan itu dijangka selesai dalam tempoh sebulan, maka ia dijangka mula memberi sumbangan kepada kewangan FMH pada suku kedua FY22 (2QFY22).
Sebagai rekod, FMH semalam mengumumkan bahawa kumpulan bakal mengambil alih tiga syarikat AS yang secara dasarnya dikenali sebagai syarikat IOS.
“Kami positif terhadap pengambilalihan ini kerana ia akan mengembangkan rangkaian luar negara FMH (25% daripada hasil FY21) terutamanya di AS (0.1% daripada hasil FY21).
“Memandangkan AS merupakan pengimport dan pengeksport kedua terbesar dunia bagi barangan niaga, FMH akan mempunyai akses serta-merta ke atas pangkalan pelanggan dan rangkaian operasi syarikat IOS.
“Ini akan meningkatkan keupayaan FMH untuk menawarkan perkhidmatan penghantaran barang dua hala antara AS dan negara FMH sedang beroperasi (tujuh negara termasuk Malaysia),” jelas Aw dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Berdasarkan makluman FMH kepada Bursa Malaysia, pengambilalihan Inter-Orient Services, Inter-Orient Corporation dan Noble Shipping Corporation itu melibatkan nilai AS$2.2 juta atau kira-kira RM9.2 juta.
Kesemua syarikat itu merupakan penyedia perkhidmatan penghantaran barang, termasuk brokeraj kastam eksport dan import untuk pengangkutan laut dan udara di AS.
CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ saham kumpulan dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM1.27 sesaham.
Unjuran perolehan sesaham (EPS) bagi FY22 hingga FY24 juta tidak berubah sementara menunggu pengambilalihan tersebut selesai. - DagangNews.com