Ambil alih konsesi tol diharap langkah permulaan ke arah lebuh raya bebas tol – penganalisis | DagangNews Skip to main content

Ambil alih konsesi tol diharap langkah permulaan ke arah lebuh raya bebas tol – penganalisis

Lebuh raya Shah Alam (SAE) yang dibina dan dikendali oleh Gamuda. - Gambar hiasan
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 7 April – Keputusan kerajaan membenarkan entiti swasta, Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR)  mengambil alih empat syarikat konsesi tol di Lembah Klang diharap menjadi langkah permulaan  ke arah mencapai matlamat menjadikan Malaysia negara bebas tol.

 

Menyambut baik keputusan kerajaan, Pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel), Ismail Hashim berkata apa yang kerajaan umumkan itu memberi kelegaan kepada pengguna kerana beban kehidupan yang ditanggung mereka lebih-lebih lagi sekarang semasa pandemik COVID-19.

 

“Namun, saya berharap langkah yang diambil kerajaan ini menjadikan langkah permulaan ke arah mencapai matlamat lebuh raya bebas tol,” katanya kepada DagangNews.com apabila dihubungi hari ini.

 

Ismail diminta berkongsi pandangan mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin yang menyatakan Kadar tol melibatkan empat syarikat konsesi lebuh raya sekitar Lembah Klang tidak akan dinaikkan.


 

Ismail Hashim
                                    Ismail Hashim

 


Tawaran pengambilalihan lebuh raya kali ini sukar ditolak - penganalisis

 

Kadar tol akan kekal sehingga tamat tempoh konsesi melalui langkah penstrukturan semula syarikat berkenaan.

 

Syarikat yang terlibat adalah syarikat konsesi lebuh raya Lembah Klang iaitu Kesas Sdn Bhd (Kesas Expressway), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART Tunnel), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT Expressway), dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Lebuhraya Damansara-Puchong atau LDP).

 

Sebuah syarikat tidak bermatlamat keuntungan yang baharu, Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) dipengerusikan Tan Sri Azlan Mohd. Zainol akan mengambil alih 100% kepentingan dalam empat syarikat konsesi lebuh raya di Lembah Klang. 

 

Kadar tol empat lebuh raya di Lembah Klang tidak dinaikkan -  PM


 

Dr Oh Ei Sun
                                  Dr Oh Ei Sun

 


Bersependapat dengan Ismail yang mahukan lebuh raya tol dihapuskan masa akan datang,  Felo Kanan, Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun berkata, perasaan pengguna lebuh raya bertol berkemungkinan agak bercampur-baur  mereka terhadap cadangan baharu ini.

 

Di satu pihak katanya, mereka sudah tentu gembira kerana caj tol sekurang-kurangnya tidak meningkat pada masa hadapan seperti yang dijanjikan dalam cadangan baharu.

 

“Tetapi sudah tentu pengguna ini terus menantikan hari apabila semua caj tol dimansuhkan, yang bukan sebahagian daripada cadangan baharu ini.” DagangNews.Com