PAPAR 26 Mei – Golongan muda-mudi di Sabah diseru menceburi bidang pertanian dan mengambil kesempatan daripada tanah yang luas lagi subur untuk diusahakan di Sabah.
Pengetua Pusat Latihan Pertanian Kaiduan (KATC), Rebekah Alpheus berkata, data daripada Persatuan Pusat Latihan Kemahiran, Sistem Latihan Dual Nasional Sabah dan Labuan meramalkan bilangan belia menganggur di Sabah boleh mencecah 250,000 menjelang 2024.
Laporan itu yang menyatakan kadar pengangguran belia di Sabah adalah yang tertinggi di negara ini pada suku pertama 2022.
Dalam konteks ini, Rebekah menyeru agar lebih ramai golongan belia untuk menggiatkan diri dalam bidang pertanian biarpun dalam skala yang kecil.
“Sedikit sebanyak ia dapat menampung keperluan makanan harian kita tanpa bergantung sepenuhnya dengan produk di pasaran pada era globalisasi ini. Di Sabah, ramai muda-mudi mewarisi atau akan mewarisi tanah keluarga sejak turun-temurun.
"Bagi yang bergelar graduan Institut Pengajian Tinggi (IPT), saya percaya majoritinya telah didedahkan kursus keusahawanan di IPT.
“Oleh itu, sektor pertanian merupakan peluang tinggi untuk memulakan kerjaya dalam keusahawanan, juga sebagai kerjaya Plan B seperti yang saya lalui sendiri. Perlu ingat, pertanian juga merupakan satu perusahaan yang mampu menjana pendapatan tinggi,” kata Rebekah.
Selain itu kata beliau, sektor pertanian tidak terikat untuk golongan berpendidikan tinggi sahaja.
“Pada pendapat saya, tahap pendidikan bukan keutamaan pertama melainkan keinginan individu itu sendiri untuk memulakan perusahaan termasuklah dalam sektor pertanian.
“Kita hanya perlu bijak merancang dan rajin mencari peluang untuk meningkatkan hasil tersebut,” ujar beliau.
Secara peribadi Rebekah berkata, keputusannya untuk menggiatkan diri dalam sektor pertanian pada mulanya dipengaruhi oleh kesedaran diri mengenai pentingnya menghasilkan makanan sihat dan bebas kimia untuk manfaat diri dan pengguna lain.
BERITA BERKAITAN: Pusat Latihan Pertanian Kaiduan tawar latihan kerjaya tani moden
Beliau merupakan graduan Pengurusan Seni dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 2018 dan kemudian menyertai Kursus Pertanian selama 6 bulan di Pusat Latihan Pertanian Damai, Kota Marudu dan menyertai Kursus Teknologi Fertigasi anjuran Bayu Farm.
"Setelah mendapatkan Ijazah Sarjana Muda, sama seperti rakan seperjuangan yang lain, saya mencari peluang pekerjaan sesuai dengan kelulusan memerlukan waktu.
“Supaya tidak membuang masa dan mengelak alam pengangguran, setelah beberapa bulan bekerja sebagai juruwang di pasar raya, saya mengambil inisiatif untuk pulang ke kampung dan memulakan kebun organik kecil iaitu pengolahan tanah dan tanaman tanpa mengaplikasikan baja kimia dan racun kimia.
'Sesuai dengan latar belakang saya sebagai anak tani, kemudian diasah dengan pengetahuan keusahawanan, saya mengambil peluang tersebut untuk bertindak tanpa melihat kekurangan modal dan fizikal saya sebagai wanita,’’ jelas beliau.
“Setelah beberapa waktu, saya mendapat tawaran bekerja dalam sektor pertanian di Kampung Kaiduan, Papar.
“Saya melihat peluang tersebut untuk memperkasakan pengetahuan saya di samping dapat memanfaatkan keinginan saya untuk berkongsi pengetahuan bertani khususnya tanaman organik bersama masyarakat di sekitar saya.
“Saya berhasrat untuk menghasilkan satu komuniti mampu membangun tanpa penggunaan bahan kimia dalam kegiatan tani. Hal ini bukan sahaja dapat menghasilkan satu komuniti yang sihat, ia juga dapat membantu petani-petani kecil menambah pendapatan harian mereka.”
Kini, Rebekah bersama Pusat Latihan Pertanian Kaiduan (KATC) di bawah tajaan Osimal Foundation dalam usaha membangunkan komuniti petani muda tidak kira dalam pertanian tradisional atau moden, khususnya untuk belia Sabah.
“Mengenai lokasi Kg Kaiduan, memang benar ia terletak sangat jauh dari pusat bandar, namun ia tidak menghalang saya untuk memperjuangkan misi saya dalam berkongsi gaya hidup bertani yang sihat, sekaligus mendorong masyarakat untuk menghargai alam sekitar.'
“Dalam pada itu, saya ingin mengubah pandangan masyarakat terhadap sektor pertanian bahawa sektor terpenting ini merupakan tunjang pengeluar makanan untuk semua pengguna termasuklah haiwan ternakan dan peliharaan kita,” kata Rebekah. – DagangNews.com