BATU PAHAT 18 Feb - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru rakyat memanfaatkan pelbagai inisiatif berkaitan peluang kerjaya yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Beliau berkata, melalui program peningkatan kerjaya seperti PENJANA KPT-CAP, PENJANA KPT-PACE dan GetHired@KPT serta MyFutureJobs akan membantu mengurangkan lagi kadar pengangguran di negara ini kepada paras di bawah 4.2%.
Jelasnya, sebanyak 63,990 jawatan kosong di Johor ditawarkan melalui portal MYFutureJobs, menerusi kerjasama KPT dengan Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Beliau difahamkan lebih 3,000 kekosongan jawatan ditawarkan di Karnival KPT Keluarga Malaysia yang berlangsung selama tiga hari di sini, bermula hari ini.
"Justeru, saya menyeru semua yang hadir untuk mengambil peluang itu dan menguar-uarkan kepada saudara-mara di luar sana yang memerlukan pekerjaan. Apa yang pasti, program-program ini adalah berbentuk touch point dan bertujuan untuk menyantuni keperluan denyut nadi rakyat.
"Tahniah diucapkan kepada KPT, kerajaan akan sentiasa menyokong segala inisiatif dan usaha KPT dalam membangunkan pendidikan dalam negara," katanya ketika berucap merasmikan Karnival KPT Keluarga Malaysia di Dewan Seri Mahkota Maktab Rendah Sains Mara.
Ismail Sabri berkata, beliau tidak teragak-agak untuk bersetuju apabila Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menjemput beliau berkunjung ke Parit Sulong untuk merasmikan karnival tersebut.
"Pada saya, inilah peluang untuk saya bertemu dengan rakyat, khususnya di kawasan Parlimen Parit Sulong ini. Saya masih ingat lagi pada Disember tahun lepas, ketika program Keluarga Malaysia @ IPT diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, ia mendapat sambutan amat menggalakkan," katanya.
Beliau berkata, pendidikan merupakan agenda yang penting bagi mengubah sesuatu keluarga, kaum dan sesuatu individu.
"Sejak dari merdeka kerajaan menjadikan pendidikan sebagai agenda utama. Walaupun kerajaan bertukar-tukar, tetapi pendidikan tetap menjadi agenda utama.
"Pendidikan boleh membantu golongan B40, M40 dan juga masyarakat luar bandar. Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan sebagai contoh biasiswa Majlis Amanag Rakyat (MARA) yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan yang membolehkan sekurang-kurangnya 10 pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara.
"Dengan pendidikan, tanpa mengira latar belakang, anak penoreh getah pun boleh menjadi seorang perdana menteri dan anak tok penghulu boleh jadi menteri besar, berjaya hasil dari dasar yang jelas dari kerajaan untuk tingkatkan taraf pendidikan anak-anak bangsa," katanya.
Tambah beliau, penekanan kepada aspek pendidikan, termasuklah pendidikan tinggi perlu menjadi keutamaan, selari dengan nilai Keluarga Malaysia, iaitu menerapkan budaya ilmu dalam masyarakat dan keluarga. - DagangNews.com