KUALA LUMPUR 16 April - AmInvestment Bank Research menjangkakan Alliance Bank Malaysia Berhad mencatatkan untung bersih sebanyak RM179 juta pada 4QFY24 menjadikan untung bersih keseluruhan FY24 kepada RM691 juta.
Katanya, margin faedah bersih (NIM) kumpulan itu pada 4QFY24 dijangka stabil dari suku tahun ke suku tahun dengan kos dana (COF) dan kos pembiayaan kekal tinggi manakala kadar pinjaman perumahan terus kompetitif, terutamanya pembiayaan hartanah di pasaran utama.
Firma penyelidikan berkata, NIM untuk FY24 berkemungkinan berada dalam dalam julat antara 2.45% hingga 2.50%.
"Momentum pinjaman yang kukuh dijangka berterusan pada 4QFY24 kerana kami telah melihat pertumbuhan pinjaman yang lebih kukuh sebanyak 5.8% dari tahun ke tahun pada Februari 2024 dan 5.7% pada Januari 2024 berbanding 5.3% pada Disember 2023.
"Pertumbuhan kredit akan disokong oleh pengembangan pinjaman di Pulau Pinang (sektor teknologi) dan Sarawak (sektor infrastruktur dan projek tenaga boleh diperbaharui)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
AmInvestment berkata, pendapatan bukan faedah (NOII) bagi 4QFY24 dijangka stabil antara RM80 hingga RM90 juta hasil daripada perkhidmatan pengurusan kekayaan, tukaran mata wang asing serta perkhidmatan perbankan.
Katanya, kualiti aset kumpulan bertambah baik seperti yang dibuktikan dalam penurunan dalam nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) daripada 2.63% pada 1QFY24 kepada 2.33% pada 3QFY24.
"Melangkah ke hadapan, potensi kenaikan gaji untuk pekerja kesatuan akan dilakukan secara beransur-ansur.
"Sementara itu, perbelanjaan untuk bahagian teknologi maklumat (IT) berkemungkinan berkurangan pada masa hadapan disebabkan pemuatan hadapan lebih awal bagi perbelanjaan berkaitan strategi ACCELER8 2027," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM4.10 sesaham.- DagangNews.com