AmInvestment jangka kenaikan harga minyak sawit mentah terhad kesan penurunan harga minyak kacang soya, jagung | DagangNews Skip to main content

AmInvestment jangka kenaikan harga minyak sawit mentah terhad kesan penurunan harga minyak kacang soya, jagung

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Dis - AmInvestment Bank Research ‘neutral’ terhadap sektor perladangan memandangkan ia berpendapat bahawa penurunan harga minyak kacang soya dan jagung akan mengehadkan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM).

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan purata harga MSM bagi 2024 pada RM4,000 setiap tan untuk penanam tulen di Malaysia dan RM3,700 setiap tan untuk syarikat besar (selepas mengambil kira diskaun harga Indonesia sebanyak RM300 setiap tan).

 

Mengulas mengenai pemulihan pendapatan sektor dalam suku ketiga tahun kewangan 2023, AmInvestment berkata ia didorong oleh pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih kukuh dan penurunan dalam kos baja.

 

“Penanam tulen menunjukkan prestasi lebih baik berbanding pesaing mereka dalam 3QFY23. Syarikat bersepadu menghadapi permintaan yang lemah dan harga jualan yang rendah untuk produk oleokimia mereka.

 

“Persaingan daripada syarikat hiliran di Indonesia adalah sengit dan terdapat penggiat oleokimia baharu di China,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut AmInvestment, pengeluaran BTS berkembang suku ke suku (QoQ) pada suku ketiga tahun ini disebabkan faktor bermusim, ketiadaan perayaan Hari Raya dan peningkatan produktiviti pekerja.

 

Firma itu berkata syarikat di bawah liputannya merekodkan pertumbuhan pengeluaran BTS sebanyak 11.9% kepada 28.3% QoQ pada suku tersebut, di mana FGV mencatat peningkatan tertinggi sebanyak 28.3% manakala Hap Seng Plantations adalah yang terendah pada 11.9%.

 

Bagaimanapun, dalam tempoh sembilan bulan pertama 2023 (9M2023), pertumbuhan pengeluaran BTS tidak memberangsangkan berbanding tempoh sama tahun lalu, yang mana kecuali untuk Hap Seng Plantations, pengeluaran BTS syarikat dalam liputan firma itu meningkat hanya sebanyak -9.3% kepada 5.6% tahun ke tahun (YoY).

 

Memetik sumber MPOB, firma itu berkata purata harga MSM pula mendatar QoQ bagi suku ketiga tahun ini pada RM3,810 setiap tan berbanding RM3,846 setiap tan suku sebelumnya.

 

Bagaimanapun, pada asas tahunan, purata harga MSM merosot 29.8% kepada RM3,884 setiap tan dalam 9M2023 daripada RM5,531 setiap tan pada 9M2022.

 

Manakala harga isirung sawit (PK) jatuh lebih tinggi daripada harga MSM pada 9M2023 disebabkan permintaan lemah bagi minyak isirung sawit daripada syarikat oleokimia dan purata harganya menjunam 46.5% kepada RM2,015 setiap tan pada 9M2023 daripada RM3,767 setiap tan pada 9M2022.

 

Bagi sektor ini, firma itu meletakkan saranan ‘beli’ untuk KLK dengan nilai saksama (FV) RM25.20 sesaham, Genting Plantations (FV: RM6.80) dan Hap Seng Plantations (FV: RM2.30).  - DagangNews.com