HARI INI, negara Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi dengan sistem ekonomi yang tidak kukuh, masalah mata wang yang semakin merudum serta inflasi yang berlarutan menggusarkan hati dan pemikiran rakyat.
Permasalahan ini mengundang rasa kurang senang dan yakin kepada kerajaan yang sedia ada kerana rakyat berpendapat pemimpin sepatutnya hadir membela nasib dan mendengar keluhan rakyat.
Bukan hanya berbuat sibuk di waktu ambang pilihan raya demi meraih kepercayaan rakyat untuk mengundi parti.
Tinjauan yang dijalankan oleh Ipsos Malaysia; melibatkan 500 responden dari Januari hingga Mac tahun ini, 47 peratus daripada responden yang ditemu bual percaya Malaysia sedang menuju ke arah yang salah.
Lebih memeranjatkan lagi, statistik ini hampir dua kali ganda peratusan yang dicatatkan berbanding Januari tahun lalu iaitu sebanyak 26 peratus.
Antara yang disebut sebagai kebimbangan utama mereka ialah rasuah politik; mencatat statistik yang tertinggi iaitu 50 peratus, inflasi (38 peratus), pengangguran (32 peratus), kemiskinan dan ketidakadilan sosial (31 peratus) dan cukai (23 peratus).
Ini terbukti menunjukkan bukan sahaja rakyat terkesan akan peningkatan kos sara hidup, permasalahan rakyat malah ia merupakan keluhan yang mula menunjukkan kegelisahan dengan masa depan negara.
Terdapat sebilangan rakyat Malaysia yang mengalami masalah kewangan yang semakin meruncing dan enggan berbelanja atau melakukan persiapan menyambut Hari Raya.
Malah ada yang sangat pesimis, berasa kurang gembira dan beranggapan dengan kenaikan harga barang menyebabkan poket atau wang simpanan mereka semakin susut.
Kenaikan harga barang makanan, pakaian, rumah serta keperluan lain menghambat rakyat untuk berbelanja lebih. Ibrahnya, rakyat menyalahkan kerajaan dan Kementerian Perdagangan dalam Negeri (KPDN) yang tidak konsisten bagi membantu mengawal selia harga barang dengan baik.
Masalah Ekonomi: Peningkatan Kes Jenayah dan Keganasan serta Masalah Mental
Baru-baru ini negara juga dikhabarkan dengan kenaikan gaji penjawat awam yang merupakan usaha, ihsan kerajaan di dalam membantu meringankan bebanan rakyat.
Meskipun begitu, kenaikan pendapatan seharusnya seimbang dengan harga barang yang ditetapkan agar tindakan itu sejajar dengan janji kerajaan di dalam membantu serta berkhidmat kepada rakyat.
Adakah tindakan ini benar-benar membela hak, kuasa beli pengguna serta menyelesaikan inflasi? Kerajaan seharusnya bertindak bijak dengan memantau aktiviti jual beli dan mengawal harga barang daripada meningkat berterusan.
Harga barang yang dikenakan seharusnya di selia kawal dan adil (Fair pricing) serta memuaskan hati para pengeluar, peniaga dan pembeli.
Tidak dinafikan kesan kenaikan kos sara hidup, serta ekonomi negara yang tidak stabil memberi implikasi padah kepada kadar peningkatan kes jenayah, keganasan rumahtangga, tekanan, kemurungan dan masalah mental yang semakin menular dalam kalangan masyarakat.
Laporan berita di akhbar, televisyen dan perkongsian di media sosial menunjukkan semakin banyak kes jenayah, pembunuhan, pecah amanah, penipuan komersial, keganasan rumahtangga, penceraian dan bunuh diri akibat permasalahan ekonomi.
Ini bukan fenomena baharu bahkan realiti pahit ini sudah bersarang dan perlu dibendung sebelum menjadi parah. Secara harfiahnya, jika permasalahan ekonomi dapat diselesaikan dengan baik oleh kerajaan melalui perancangan yang jitu dan pelaksanaan yang sistematik ia bukan sahaja dapat mengurangkan masalah sosial tetapi juga memelihara kesejahteraan rakyat dengan kadar jenayah yang minimum.
Masalah ekonomi dan peningkatan kos sara hidup perlu diselesaikan oleh kerajaan, kementerian dan pihak berkuasa tempatan melalui intervensi yang betul bagi memberi jalan penyelesaian dan kemaslahatan jangka panjang khususnya kepada rakyat.
Penyelesaian kepada Permasalahan Ekonomi dan Kos Sara Hidup Rakyat
Bidalan ada mengatakan, janji harus dikota, bukan angan-angan retorik semata-mata. Tindakan drastik perlu dilakukan oleh kerajaan iaitu memerangi rasuah politik dalam kalangan kakitangan kerajaan atau swasta.
Kita dapat lihat kerajaan serius membuat tangkapan kepada individu yang terlibat dengan jenayah rasuah dan diharapkan usaha ini berterusan, tidak memilih bulu di dalam membuat tangkapan kepada penerima dan pemberi rasuah yang sememangnya merosakkan kestabilan ekonomi, integriti, maruah, agama bangsa dan negara.
Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) mencatatkan kedudukan Malaysia dalam Senarai Daya Saing Dunia oleh jatuh ke tangga 32 berbanding tangga ke-12 yang pernah dicapai sebelum ini.
Kerajaan seharusnya bangkit dari kejatuhan dengan bersikap tegas dan telus di dalam pelaksanaan dasar bagi memastikan sistem ekonomi Malaysia pulih, stabil serta cuba meningkatkan mata wang kembali agar ramai pelabur asing yakin untuk melabur kewangan dan membuka perniagaan mereka di Malaysia.
Kedatangan pelabur asing bukan sahaja akan membina kilang malah membawa masuk teknologi baharu yang dapat dipraktikkan oleh tenaga mahir tempatan.
Melalui perusahaan ini akan mengurangkan masalah pengangguran, menjana ekonomi, pendapatan rakyat dan meningkatkan mata wang negara dengan hasil penjualan barangan eksport.
Ini juga dapat mengurangkan jurang kemiskinan, ketidakadilan sosial dan memacu pertumbuhan kesamaan agihan pendapatan kepada seluruh masyarakat.
Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan pegawai penguatkuasa seharusnya kerap turun padang dengan membuat operasi pemantauan harga dan keberadaan barangan keperluan asas di seluruh negara.
Kerajaan juga seharusnya tangkas bekerjasama dengan petani serta pemain industri tempatan bagi memperkasakan bekalan barangan keperluan asas tempatan seperti beras dan makanan ruji negara agar tidak terlalu bergantung pada pembekal dari luar.
Tuntasnya, bukan mudah untuk meraih kepercayaan, membina keyakinan rakyat dan mengekalkannya.
Kerajaan seharusnya peka dan bersikap telus bukan sahaja mendengar tetapi lebih pro-aktif dengan bertindak membantu menyelesaikan permasalahan ekonomi dan keluhan rakyat.
Ini penting bagi memastikan rakyat kekal yakin, tenang, hidup sejahtera dengan politik dan ekonomi yang mampan dan stabil, membela rakyat seiring dengan pembangunan serta memelihara kesihatan akal dan jasmani masyarakat secara holistik. - DagangNews.com