AmInvestment jangka kos baja menyusut, pengeluaran minyak sawit mentah meningkat pada 2HFY23 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment jangka kos baja menyusut, pengeluaran minyak sawit mentah meningkat pada 2HFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mei - AmInvestment Bank Research (AmInvestment) menjangkakan kos baja menyusut pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) selaras dengan trend di peringkat global manakal jumlah pengeluaran minyak swait mentah (MSM) meningkat.

 

Firma itu berkata, kos baja itu dijangka menyusut sebanyak 30% pada separuh kedua berbanding pada separuh pertama dan penggunaan baja Hap Seng Plantations Holdings Berhad berada dilandasan yang betul.

 

Kumpulan itu menggunakan 25% daripada program baja setahun penuhnya pada 1QFY23.

 

"Tiada masalah dengan cuaca pada masa ini. Hujan masih mencukupi di ladang kelapa sawit kumpulan itu di Sabah.

 

"Kumpulan berharap dapat mencapai pertumbuhan keluaran buah tandan segar (BTS) bagi FY23 sebanyak 19% berbanding 14.5% bagi 1QFY23.

 

"Pengeluaran dijangka memuncak pada 4QFY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kos pengeluaran keseluruhan meningkat kepada RM2,765/tan pada 1QFY23 daripada RM2,183/tan pada 1QFY22. 

 

Ia disebabkan oleh peningkatan 30% dalam kos tenaga dan 50% lonjakan kos baja.

 

"Walaupun kos pengeluaran meningkat pada 1QFY23, kumpulan itu berharap dapat mencapai kos pengeluaran keseluruhan yang lebih rendah sebanyak RM2,300/tan untuk setahun penuh," katanya.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu tidak menghadapi kekurangan tenaga kerja yang ketara kerana kebanyakan pekerja ladang kembali bekerja selepas cuti Hari Raya pada April lalu.

 

Kumpulan dijangka menanam semula kira-kira 829 hektar pokok kelapa sawit yang sudah tua pada FY23 dengan anggaran kos antara RM20,000 sehektar hingga RM22,000 sehektar.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM2.15 sesaham. - DagangNews.com