AmInvestment kekal saranan 'Pegang' saham IHH, jangkakan kesan Cukai Makmur RM20 juta | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal saranan 'Pegang' saham IHH, jangkakan kesan Cukai Makmur RM20 juta

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 1 Dis -  AmInvestment Bank Bhd mengekalkan saranan 'Pegang' ke atas saham IHH Healthcare dengan harga sasaran tidak berubah pada RM6.27 sesaham.

 

Bank pelaburan itu berkata, ramalan pendapatan turut dikekalkan berikutan taklimat penganalisis semalam. 

 

"Secara keseluruhannya, kami mengekalkan panggilan 'Kekal' kami kepada syarikat. 

 

"Prospek pendapatan yang lebih baik daripada operasi hospital teras yang lebih tinggi diimbangi oleh penurunan dalam hasil berkaitan COVID-19 dan susut nilai lira Turki," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

IHH mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM1,154 juta pada 9 bulan tahun kewangan 2021 (TK21) mewakili pertumbuhan kukuh sebanyak 236% tahun ke tahun.

 

Prestasi itu terutamanya disebabkan oleh kesan asas yang rendah kerana operasinya terjejas teruk pada tempoh sama tahun lalu, memandangkan pelaksanaan sekatan pergerakan dalam pasaran utamanya. 

 

IHH turut merekodkan pertumbuhan dalam hasil suku ketiga TK21 sebanyak 26% tahun ke tahun kepada RM4.4 bilion. 

 

Hasil kukuh yang dilaporkan pada suku semasa adalah disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan dalam intensiti hasil tahun ke tahun merentas semua lokasi geografi Singapura 5.8%, Malaysia 25.1%, India 3.2% dan Acibadem 21.7%.

 

"Ini disebabkan oleh bilangan kes kompleks yang lebih tinggi yang dilakukan dan semakan harga yang lebih tinggi dalam Acibadem untuk memerangi inflasi serta sumbangan yang lebih tinggi daripada perkhidmatan berkaitan COVID-19 yang menyumbangkan antara 6% hingga 29% daripada hasil suku ketiga TK21 pasaran tempatan masing-masing," katanya. 

 

Dalam pada itu AmInvestment turut menjangkakan kesan Cukai Makmur sebanyak RM20 juta untuk TK22 di peringkat kumpulan. -DagangNews.com