AmInvestment kekal unjuran capex MISC AS$1 bilion setahun bagi FY22-FY23 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal unjuran capex MISC AS$1 bilion setahun bagi FY22-FY23

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 10 Dis - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap MISC Bhd. dengan nilai wajar tidak berubah pada RM7.75 sesaham.

 

Penganalisisnya, Alex Goh berkata, penilaian tersebut mencerminkan premium 3% daripada penarafan 4 bintang bagi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).   

 

"Setakat ini, unjuran kami tidak berubah setelah mengikuti sesi taklimat bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Datuk Yee Yang Chien, semalam," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam taklimat berkenaan, Goh berkata, kumpulan optimis tetapi berhati-hati terhadap kadar tangki petroleum, yang meningkat 2 kali ganda tahun ke tahun kepada AS$11,000 sehari bagi Suezmax dan meningkat 76% tahun ke tahun kepada AS$8,800 sehari bagi Aframax.

 

Bagaimanapun, kadar bagi kapal pengangkut minyak mentah yang sangat besar (VLCC) terus tertekan, separuh daripada tahun ke tahun kepada hanya AS$6,700 sehari. 

 

"Memandangkan 2021 akan mewakili senario terburuk dengan kadar VLCC yang negatif bagi tempoh Jun-Julai tahun ini, MISC menjangkakan sedikit pemulihan pada FY22 apabila Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) menaikkan kuota pengeluaran sejajar dengan peningkatan penggunaan global. 

 

"Beserta tambahan kapal tangki ulang-alik (1 pada suku keempat 2021 dan 5 dalam FY22), kami menjangkakan syarikat akan kembali mendapat pulangan modal dalam suku keempat setelah mengalami kerugian RM8 juta pada suku ketiga," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

MISC juga katanya, agak lemah dalam membida projek-projek baharu tahun ini kerana kumpulan memberi fokus kepada pelaksanaan projek sedia ada di tengah-tengah ketidaktentuan impak pandemik COVID-19. 

 

Bagaimanapun, menurut Goh, syarikat ini sedang meninjau kontrak baharu termasuk projek pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) yang menelan kos antara AS$1 hingga AS$2 bilion dan pengangkut gas asli cecair (LNG) kerana kadar telah meningkat 62% tahun ke tahun kepada AS$128,000 sehari.

 

Katanya, sejajar dengan objektif ESG Petronas, MISC menyasarkan untuk sifar bersih karbon neutral menjelang 2050. 

 

"Oleh itu, kumpulan sedang mengintai kontrak yang memerlukan kapal LNG dengan keupayaan dwi-bahan api, termasuk sasaran untuk menggantikan 50% daripada 30 kapal pengangkutnya menjelang 2030.

 

"Walaupun kapal dwi-bahan api memerlukan kos tambahan antara AS$10 hingga AS$15 juta setiap satu, tetapi pengurusan berpendapat penyewa di Eropah bersedia menerima kadar yang tinggi ekoran sekatan pelepasan yang semakin meningkat," tambahnya.

 

Beliau juga berkata, pengurusan menjangkakan aliran perbelanjaan modal (capex) yang sama dalam tempoh 4 hingga 5 tahun sama seperti 2017 hingga 2020, sekitar AS$1 hingga AS$1.5 bilion setahun, bergantung kepada jenis kapal dan kitaran pembinaannya.

 

"Dalam hal ini, kami mengekalkan unjuran capex sekitar AS$1 bilion setiap tahun bagi tempoh FY22-FY23 sementara menanti pengumuman kontrak baharu," jelasnya.

 

Melangkah ke hadapan, Goh menjangkakan peningkatan sederhana bagi kadar kapal tangki petroleum memandangkan OPEC+ merancang untuk menaikkan tahap pengeluaran kepada 2 juta tong mulai Ogos hingga Disember 2021 di tengah-tengah musim sejuk, yang kebiasaannya merupakan waktu puncak bagi kitaran kapal tangki.

 

"Oleh itu, beserta penghantaran kedudukan dinamik 6 kapal tangki ulang-alik dan 2 VLCC pada tahun hadapan, ini dijangka menyokong prospek pertumbuhan pendapatan bagi FY22," katanya.

 

Setakat 11.44 pagi, harga saham MISC menokok 8 sen atau 1.23% kepada RM6.60 dengan 97,700 saham diniagakan. - DagangNews.com