Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Jan - AmInvestment Bank Research meletakkan nilai wajar (FV) Globetronics Technology Bhd. lebih rendah kepada RM2.36 berbanding RM2.84 sesaham selepas menyemak semula unjuran pendapatan syarikat.
Dalam nota kajian hari ini, firma itu mengurangkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2021 (FY21), FY22 dan FY23 masing-masing sebanyak 25%, 21% dan 26% kepada RM45.6 juta, RM62.5 juta dan RM66.5 juta.
Katanya, semakan semula itu terutamanya disebabkan jumlah muatan yang lebih rendah daripada jangkaan bagi perniagaan alat pengesanan dan juga jangkaan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi pada masa akan datang.
"Kami menjangkakan segmen perniagaan alat pengesanan akan kekal lembap pada suku keempat 2021, dengan pertumbuhan tahun ke tahun yang mendatar.
"Ini kerana pelanggan utamanya masih lagi terperangkap dengan gangguan rantaian bekalan yang berterusan," katanya.
Malah, menurutnya, pelan pengembangan kilang Globetronics yang dilanjutkan sehingga Mac daripada perancangan awal pada Januari, turut dilihat menjejaskan potensi pertumbuhan bagi FY22.
Globetronics sebelum ini memutuskan untuk menamatkan kitaran perniagaan quartz crystal timing device (QCTD) pada Disember 2021 disebabkan tekanan harga oleh pelanggan-pelanggan utama.
Kumpulan tidak menjangkakan sebarang impak ketara terhadap pendapatan bersih syarikat memandangkan QCTD hanya menyumbang margin yang rendah dan kebanyakan jentera telah mengalami susut nilai sepenuhnya.
Sementara itu, kilang di Kuala Lumpur juga dikosongkan buat masa ini dengan pihak pengurusan giat untuk memenuhi lebihan kapasiti.
"Berikutan penamatan perniagaan ini, kami menjangkakan margin untung bersih kumpulan akan meningkat sebanyak 8 mata peratus.
"Di samping itu, jumlah margin bagi perniagaan pencahayaan laser dijangka meningkat 2 kali ganda mulai Februari 2022," tambahnya.
Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan saranan 'beli' terhadap Globetronics berikutan marginnya yang kukuh menerusi perniagaan alat pengesanan (menyumbang kira-kira 60% daripada jumlah hasil kumpulan) selain kekuatan perniagaan alat pengesanan pintar dan peningkatan dalam lampu depan automotif laser.
"Namun, kami percaya saham syarikat dinilai rendah pada harga semasa dan pelabur sepatutnya mengambil peluang untuk mengumpul saham ini," katanya.
Setakat 10.53 pagi ini, harga sahamnya menokok 4 sen atau 2.47% kepada RM1.66 dengan 874,100 saham diniagakan. - DagangNews.com