AmInvestment optimis MAHB kembali catat untung pada suku akan datang  | DagangNews Skip to main content

AmInvestment optimis MAHB kembali catat untung pada suku akan datang 

Pada suku ketiga, kerugian bersih MAHB menurun dengan ketara kepada RM9.04 juta. - Gambar : Facebook MAHB
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Feb - AmInvestment Bank Research menjangkakan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan kembali mencatat keuntungan pada suku akan datang dipacu volum penumpang yang lebih tinggi dan struktur kos lebih berhemah.
 

Firma itu juga menjangkakan peningkatan suku ke suku yang lebih kukuh bagi pendapatan suku keempat berakhir 31 Disember 2022 dalam operasi MAHB di Malaysia berikutan trafik penumpang yang lebih tinggi secara bermusim serta pemulihan yang menggalakkan dalam campuran antarabangsa-domestik.

 

Menurutnya, prospek hasil kumpulan dilihat semakin bertambah baik, berdasarkan pemulihan dalam sektor perjalanan udara dan pelancongan apabila wabak COVID-19 terkawal dengan pelancaran vaksinasi berskala besar dan sempadan antarabangsa dibuka semula.

 

"Selain itu, kami juga positif dengan kelulusan secara prinsip yang diperoleh MAHB bagi perjanjian operasi (OA) 2023, yang akan membuka laluan untuk memuktamadkan OA bagi memperkenalkan rangka kerja asas aset terkawal (RAB) berasaskan kos dalam menetapkan tarif lapangan terbang.

 

"Kami difahamkan terma baharu ini kebanyakannya berkaitan dengan mekanisme pembiayaan pembangunan lapangan terbang pada masa hadapan. 

 

"Ini termasuk fleksibiliti dalam membiayai pembangunan lapangan terbang sama ada oleh kerajaan atau MAHB (diberi pampasan melalui pulangan ke atas pelaburan kos purata wajaran modal yang diluluskan)," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Kabinet secara prinsip bersetuju dengan syarat material baharu OA, yang memberikan konsesi kepada MAHB untuk menjalankan operasi, mengurus, menyelenggara dan membangunkan 39 lapangan terbang serta padang terbang (STOLports - Short Take-Off and Landing Airports) di Malaysia sehingga 2069.

 

Dengan persetujuan Kabinet itu, yang dicapai pada 2 Februari lalu, perjanjian sama sebelum ini terbatal, manakala OA baharu serta Perjanjian Pajakan berkaitan akan ditandatangani dan dimuktamadkan selewat-lewatnya akhir Mac ini.

 

Kerugian bersih MAHB untuk suku ketiga berakhir 30 September 2022 menurun dengan ketara kepada RM9.04 juta berbanding RM182.32 juta disebabkan lonjakan jumlah penumpang yang meningkatkan pendapatan dengan ketara.

 

Pendapatan bagi tempoh itu pula melonjak 87.2% kepada RM863.61 juta daripada RM461.33 juta dalam persekitaran trafik yang kukuh berikutan pelonggaran protokol perjalanan, tempoh cuti musim panas dan sekolah, musim haji, serta penyambungan semula perkhidmatan dan operasi syarikat penerbangan.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23), AmInvestment mengekalkan unjuran trafik Malaysia sebanyak 82.1 juta penumpang dan diunjur meningkat kepada 107.4 juta bagi FY24.

 

Katanya, ia disokong oleh pemulihan kukuh dalam permintaan perjalanan udara global selepas gangguan permintaan yang disebabkan wabak COVID-19.

 

"Kami juga kekal optimis dengan pembukaan semula sempadan China sejak Januari 2023, yang akan merangsang pemulihan pengangkutan udara. Tambahan pula, penumpang China merangkumi 11% daripada trafik penumpang Malaysia pada 2019," katanya.

 

Namun, secara keseluruhan, firma itu menyemak turun penarafan MAHB kepada 'pegang' daripada 'beli' sebelum ini dengan nilai wajar tidak berubah pada RM7.45 sesaham, terutamanya disebabkan peningkatan terhad sebanyak 7% berikutan kenaikan harga saham sejak lepas dua bulan lalu.

 

"Pada masa sama, kami turut memperhalusi pendapatan bagi FY22 sebanyak -2% untuk mengambil kira andaian trafik penumpang yang dikemas kini berikutan pengumuman data trafik lapangan terbang Disember 2022 baru-baru ini. 

 

"Tetapi, kami mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY23 hingga FY24 selepas mengambil kira pemulihan perjalanan udara," jelasnya.

 

Setakat 10.02 pagi, MAHB muncul antara kaunter paling untung di Bursa Malaysia dengan menokok 10 sen atau 1.44% kepada RM7.06 dengan 187,500 saham diniagakan. - DagangNews.com