KUALA LUMPUR 22 Julai - AmInvestment Bank Research mengunjurkan pembangunan projek M Nova yang dijangka siap pada FY26 akan membantu meningkatkan pendapatan kumpulan itu untuk jangka sederhana.
Firma itu berkata, projek yang dibangunkan itu dijangka diterima dengan baik selepas mengambil kira harga yang mampu milik selain permintaan yang tinggi untuk kawasan kejiranan yang padat di Kepong dan Selayang.
"Harga jualan purata sekaki persegi untuk projek itu dijangka antara RM450 hingga RM500 dan harga itu adalah 10% hingga 34% lebih rendah berbanding projek kediaman tinggi yang lain seperti 99 Residence KL North, M Luna dan Residensi AVA.
"Dengan harga jualan antara RM318,000 hingga RM450,000, kami percaya kediaman M Nova akan menjadi tarikan kepada golongan muda terutama kepada pembeli rumah pertama," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, projek hartanah itu terletak 2km daripada Taman Metropolitan Kepong selain dilengkapi pelbagai kemudahan seperti pasar basah, kedai runcit serta kemudahan pengangkutan awam seperti stesen MRT dan KTM dan boleh diakses menggunakan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).
M Nova merupakan projek pembangunan bercampur seluas 8.1 ekar, terdiri daripada 3 blok kediaman servis dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM790 juta.
Firma itu berkata, dua blok pertama (Menara A & B) menawarkan tiga jenis susun atur dengan kawasan binaan indikatif dari 700 hingga 1,000 kaki persegi dan kini sudah dibuka untuk pendaftaran dengan ia dijangka dilancarkan pada 4QFY22. Menara C pula akan dilancarkan pada FY23 di bawah fasa kedua.
"M Nova menawarkan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gelanggang badminton, trek joging dan tempat letak basikal selain dilengkapi stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) serta sistem pengumpulan sisa automatik," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' untuk Mah Sing dengan harga wajar (FV) 87 sen sesaham. - DagangNews.com