Amirul Feisal letak jawatan sebagai CFO Maybank | DagangNews Skip to main content

Amirul Feisal letak jawatan sebagai CFO Maybank

KUALA LUMPUR 28 Jun - Maybank mengumumkan perletakan jawatan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (GCFO), Dato' Amirul Feisal Wan Zahir berkuatkuasa15 Julai ini.

 

Menurut Maybank, Feisal telah menerangkan bahawa beliau mengundur diri untuk mengambil jawatan sebagai Pengarah Urusan di sebuah syarikat berkaitan kerajaan.

 

Feisal menyertai Kumpulan Maybank pada September 2008 sebagai Pengarah Urusan, Ketua Perbankan Pelaburan, Maybank Investment Bank. Beliau kemudian menyertai Permodalan Nasional Berhad pada bulan September 2010, dan kemudiannya dipinjamkan ke Chemical Company of Malaysia Bhd, seterusnya dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan syarikat tersebut pada tahun 2011.

 

Selepas itu, beliau menyertai semula Maybank sebagai Ketua, Perbankan Global Kumpulan pada bulan Oktober 2014, dan dilantik sebagai GCFO pada Julai 2016. Dato’ Feisal diiktiraf sebagai CFO Terbaik untuk Perhubungan Pelabur (Syarikat Modal Besar) di Anugerah Perhubungan Pelabur Malaysia pada tahun 2018.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Abdul Farid Alias ​​berkata, Feisal merupakan ahli yang penting dalam Jawatankuasa Eksekutif Kumpulan Maybank, dan juga berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kredit Pengurusan Kumpulan, serta pengarah Maybank Ageas Holdings Berhad dan Etiqa International Holdings Sdn Bhd, antara lain.

 

“Lembaga Pengarah dan Pengurusan Maybank mengucapkan terima kasih di atas kepemimpinannya dan sumbangan kepada Kumpulan, serta berharap yang terbaik dalam kerjaya masa depan beliau,” ujar beliau.

 

Maybank telah memulakan proses mengenal pasti dan memilih GCFO baru, sejajar dengan rancangan kesinambungan Kumpulan sedia ada, dan akan membuat pengumuman yang diperlukan apabila keputusan telah dibuat.

 

Sementara itu, Maybank telah melantik Khalijah Ismail, yang menyandang jawatan Pengawal Kewangan Kumpulan sebagai Pemangku GCFO untuk menyelia fungsi Kewangan Kumpulan.

 

Khalijah telah menyertai Maybank pada tahun 1991 dan memiliki pengalaman luas setelah berkhidmat dalam pelbagai peranan utama di Maybank termasuk Operasi Perbendaharaan, Perbankan Korporat & Pelaburan dan Operasi Antarabangsa, serta menguruskan program transformasi menyeluruh untuk Maybank. - DagangNews.com