Anak syarikat JAG peroleh kontrak pengurusan sisa bernilai RM150 juta | DagangNews Skip to main content

Anak syarikat JAG peroleh kontrak pengurusan sisa bernilai RM150 juta

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Julai - Anak syarikat milik penuh JAG Bhd memeterai perjanjian untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa untuk tempoh tiga tahun bernilai kira-kira RM150 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, anak syarikatnya, Jaring Metal Industries Sdn Bhd (JMI) menandatangani perjanjian dengan Infineon Technologies (Malaysia) Sdn Bhd.

 

JMI akan menguruskan semua jenis sisa atau produk sampingan yang dijana daripada aktiviti pengeluaran Infineon, termasuk sisa terjadual (seperti sisa elektrik dan elektronik, sisa berkaitan proses dan sisa berkaitan penyelenggaraan), sisa tidak berjadual dan sekerap kritikal.

 

Perjanjian itu adalah untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Ogos, bernilai kira-kira RM50 juta setahun.

 

"Pelaksanaan perjanjian itu akan menyebabkan peningkatan sementara dalam aliran keluar tunai kumpulan tetapi ia masih dalam tahap leverage yang boleh diterima," kata JAG, yang anak syarikatnya terlibat terutamanya dalam kitar semula, pengekstrakan dan perdagangan logam, tenaga boleh diperbaharui dan hartanah.

 

JMI yang diasaskan pada 1997, terlibat terutamanya dalam aktiviti kitar semula dan pembuatan pengekstrakan, pengeluaran dan penapisan logam ferus, bukan ferus dan berharga melalui pemulihan dan penambakan sisa industri dan elektrik, perdagangan logam ferus dan bukan ferus, dan pengangkutan barangan.

 

Sementara itu, aktiviti utama Infineon ialah pembuatan dan penjualan semikonduktor. - DagangNews.com