KUALA LUMPUR 23 Dis - Anak syarikat 70% milik Oriental Interest Bhd (OIB), Myra Land Sdn Bhd bercadang untuk membeli tanah pajakan berkeluasan 2.05 hektar di Pekan Baru Subang, Selangor daripada Teguh Majuria Sdn Bhd dengan nilai RM36.35 juta secara tunai.
Menurut syarikat yang beribu pejabat di Kedah itu, cadangan pembelian tersebut sejajar dengan perancangan strategik kumpulan untuk memanfaatkan kekuatannya dalam pembangunan dan pembinaan hartanah untuk membangunkan hartanah tersebut sebagai pelengkap kepada pembangunan sedia ada di Lembah Klang.
“Cadangan pembelian itu turut selaras dengan pelan keseluruhan kumpulan untuk meningkatkan simpanan tanahnya di kawasan yang mempunyai prospek yang baik.
''Ia juga membolehkan kumpulan memanfaatkan pengalamannya yang luas dalam membina pembangunan dengan kegunaan bercampur-campur, berdasarkan peluang yang boleh didapati dalam situasi pasaran semasa,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
OIB berkata, pembelian itu akan dilaksanakan melalui dana dalaman dan/atau pinjaman bank.
Katanya, cadangan pembelian itu dijangka selesai pada akhir tahun depan, tertakluk kepada sebarang lanjutan yang akan dipersetujui secara bersama oleh kedua-dua pihak secara bertulis. - DagangNews.com