Anchanto bakal memacu transformasi e-dagang Valiram | DagangNews Skip to main content

Anchanto bakal memacu transformasi e-dagang Valiram

Vaibhav Dabhade

YEO LI SHIAN

lishian@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR, 19 Okt. – Syarikat gergasi tekstil dan fesyen mewah terkemuka di Asia Tenggara, Valiram bakal bekerjasama dengan syarikat pembekal perisian sebagai perkhidmatan (SaaS) global, Anchanto untuk memacu transformasi gudang e-dagangnya.

Menurut Valiram, usahasama itu bakal mendorong syarikat untuk mentransformasi dan mengukuhkan keseluruhan operasi logistik dan gudang e-dagangnya di seluruh rantau Asia Tenggara.

“Jalinan kerjasama ini diyakini dapat membantu Valiram mempertingkatkan dan mempelbagaikan usaha syarikat bagi memperkukuhkan lagi portfolio lebih 200 jenama antarabangsanya,” kata Pengarah Eksekutif Valiram, Mukesh Valiram.

Melalui kerjasama ini, Valiram akan memanfaatkan kelebihan solusi pengurusan e-dagang Anchanto – Wareo (Warehouse Management System) dan SelluSeller (Order and Channel Management System).

Beliau menambah: “Kedua-dua solusi Anchanto ini dapat memantapkan pengurusan keseluruhan  operasi e-dagang pelbagai saluran Valiram secara menyeluruh untuk terus berkembang menyempadani negara, gudang, teknologi dan rakan kongsi kami.”

Reputasi Valiram cukup sinonim dengan kecemerlangan perkhidmatan menyeluruh, kepakaran dalam pasaran tempatan serta keupayaannya dalam mempertingkatkan pengurusan portfolio tekstil dan fesyen mewahnya.

“Dengan pendekatan 360 darjah serta berfikiran jauh, kami yakin dapat memperkukuhkan kedudukan syarikat dalam industri peruncitan tekstil dan fesyen mewah,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut berkata, kepakaran teknologi dan pasukan Anchanto diyakini dapat membantu meningkatkan jualan syarikat di semua negara dan kategori tanpa menjejaskan nilai-nilai yang didukung oleh Valiram sejak penubuhannya 85 tahun lalu.

Sejak mula memperkenalkan rangkaian produk di gudang e-dagangnya, Valiram247.com sehingga berjaya menambat hati ramai pembeli, Valiram kini bersedia untuk memacu transformasi platform dalam talian itu.

Sementara itu, Ketua Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Anchanto, Vaibhav Dabhade berkata: “Kami amat berbesar hati dengan kepercayaan Valiram terhadap kepakaran teknologi kami dalam membantu memperkasakan perkembangan landasan digital syarikat gergasi sepertinya.” – DagangNews.com