Ancom Nylex rancang tingkatkan jumlah jualan MSMA bagi raih bahagian pasaran Asia Barat, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Ancom Nylex rancang tingkatkan jumlah jualan MSMA bagi raih bahagian pasaran Asia Barat, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Okt - Ancom Nylex Berhad merancang meningkatkan jumlah jualan monosodium methanearsonate (MSMA) dalam usaha untuk meraih bahagian pasaran di Asia Barat daripada pesaingnya.

 

Kenanga Research berkata, pengeluar bahan kimia pertanian itu memilih jualan yang lebih tinggi pada masa ini dan bukannya menaikkan harga, kerana pelaksanaan kelebihan harga boleh diterbalikkan dengan mudah sekiranya keadaan berubah.

 

Bagi meningkatkan jumlah jualan, firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu akan menambah empat hingga lima juta liter kapasiti baharu menjelang pertengahan 2024, dengan pengembangan itu bertujuan menangani potensi jualan MSMA kepada petani kacang soya Brazil.

 

"Setakat ini, Ancom Nylex hanya menjual MSMA kepada penanam tebu di sana walaupun kawasan tanaman kacang soya Brazil adalah empat hingga lima kali ganda lebih besar daripada tebu," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

 

Pada masa ini, kapasiti MSMA tahunan kumpulan adalah sebanyak 11 juta liter dan 80% sudah diambil.

 

Sementara itu, keputusan lemah daripada segmen bahan kimia industri dijangka berterusan pada FY24 walaupun selepas menolak kerugian dagangan metanol yang dicatatkan pada 1QFY24. Kumpulan itu berkata prestasi itu mungkin diteruskan walaupun hingga FY25.

 

Mengenai penggunaan tunai, Ancom Nylex mengisytiharkan dividen satu sen pada 4QFY23, yang pertama dalam tempoh sembilan tahun, selepas penggearan bersihnya menyusut.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menyatakan,sebelum dividen boleh dipertimbangkan, keutamaan kumpulan adalah untuk mengekalkan wang tunai ke arah mengembangkan perniagaan dan kemudian membayar pinjaman kerana RM50 hingga RM60 juta hutang semasanya tidak memberi kelebihan dari segi cukai.

 

Mengenai pembelian balik saham, kumpulan itu mungkin mengumpul saham untuk dijual semula sebagai blok kepada pelabur strategik atau jangka panjang, katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.50 sesaham. - DagangNews.com