Ancom Nylex tangguh pelancaran produk baharu, Kenanga Research kurangkan unjuran untung bersih sehingga 13% bagi FY24-25 | DagangNews Skip to main content

Ancom Nylex tangguh pelancaran produk baharu, Kenanga Research kurangkan unjuran untung bersih sehingga 13% bagi FY24-25

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - Penangguhan produk baharu Ancom Nylex Berhad selama enam bulan menyebabkan Kenanga Research mengurangkan unjuran keuntungan bersih tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-25) masing-masing sebanyak 6% dan 13%.

 

Meskipun ia menurunkan unjuran tersebut, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) RM1.50.

 

“Kami kini menilai Ancom Nylex pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY25 sebanyak 13 kali (berbanding 15 kali FY24 PER sebelum ini), pada hanya kira-kira separuh daripada PER hadapan bagi syarikat pengeluar bahan kimia tani serantau memandangkan saiz kumpulan jauh lebih kecil,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kenanga Research berkata syarikat pengeluar bahan kimia tani itu mempunyai dua hingga tiga lagi produk baharu yang dijadualkan untuk dilancarkan pada FY24-26.

 

Menurut firma tersebut, antara produk baharu itu adalah Tebuthiuron yang kini telah ditangguhkan pelancarannya selama enam bulan tetapi bahan kimia input utama akhirnya telah diluluskan oleh kastam, justeru pengeluaran pada skala komersial sepatutnya bermula pada Februari atau Mac 2024.

 

Ia menjangkakan margin Ancom Nylex kekal kukuh disokong oleh tiga faktor, iaitu tinjauan positif bagi MSMA (monosodium methanearsonate), racun herba alternatif kepada Paraquat yang lebih toksik; tempahan pengawet kayu kekal sihat; dan rangkaian meluas bahan kimia tani.

 

Mengulas tentang prestasi kumpulan bagi separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24) baru-baru ini, firma itu berkata untung bersih kumpulan sebanyak RM43 juta di bawah jangkaannya dengan hanya meliputi 43% daripada unjuran tahun penuh.

 

“Varians terhadap ramalan kami datang terutamanya disebabkan oleh penurunan sumbangan logistik dan perbelanjaan korporat yang lebih tinggi,” ulasnya.

 

Bagaimanapun, ia memenuhi jangkaan pasaran pada 46% daripada anggaran tahun penuh konsensus.

 

Kenanga Research berkata ia terus menyukai Ancom Nylex keranaia merupakan pengeluar bahan aktif terbesar untuk racun herba di Asia Tenggara, membolehkan ia memanfaatkan larangan terhadap Paraquat yang sangat toksik.

 

Selain itu, ia juga adalah pembekal alternatif dan neutral di tengah-tengah ketegangan perdagangan Amerika Syarikat dan China. Ia secara tidak langsung merupakan proksi kepada pengeluaran makanan global dan keterjaminan makanan juga.

 

Risiko kepada saranan firma itu termasuk kemerosotan dalam pengeluaran tanaman di pasaran utama, risiko kawal selia dan risiko pertukaran mata wang asing.

 

Saham Ancom Nylex pada rehat tengah hari ditutup rendah 2 sen atau 1.8% kepada RM1.07, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM1.07 bilion.- DagangNews.com