KUALA LUMPUR 16 Okt - Andorra Healthcare Bhd memeterai memorandum kerjasama (MoC) dengan Nectar Verse Holdings Sdn Bhd dalam usaha mempertingkatkan komitmennya dalam perkhidmatan perubatan dan penjagaan kesihatan mampu milik kepada pasaran yang lebih luas termasuk untuk ahli koperasi di seluruh negara dan di Asia Tenggara.
Kerjasama itu merupakan usaha yang amat bertepatan berdasarkan peningkatan bilangan ahli komuniti koperasi.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Andorra Healthcare, Dr Khamsiah Muda berkata, MoC dengan Nectar Verse mencerminkan dedikasinya untuk meneroka pasaran penjagaan kesihatan yang unik dan baharu di luar negara termasuk Brunei, Singapura dan Indonesia.
Katanya, kerjasama itu bertujuan untuk menjangkau pasaran penjagaan kesihatan lebih luas termasuk segmen koperasi serta meningkatkan taraf penjagaan kesihatan ibu dan anak ke tahap yang lebih tinggi pada kos yang berpatutan.
"Dengan jumlah keahlian melebihi tujuh juta, sumbangan pergerakan koperasi melalui kutipan modal saham dan yuran adalah sebanyak RM16.5 bilion dengan penjanaan aset berjumlah RM156.2 bilion.
"Gerakan koperasi telah berkembang pesat dan berjaya mencapai pelbagai kejayaan," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurut Pengerusi Nectar Verse Holdings Ahmad Tarmizi Mukhtar, kerjasama itu membolehkan Nectar dan rakan kongsi perniagaannya terlibat dalam usaha pembinaan kapasiti untuk menyokong ekosistem penjagaan kesihatan ibu dan anak yang unik.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Belia Digital Bhd, Musa A Rahman menyifatkan penglibatan pihaknya akan menerajui penjagaan kesihatan inovatif, mampu milik dan berkualiti kepada komuniti koperasi secara amnya.
Sehingga awal 2023, sebanyak 14,975 koperasi di negara ini menjana pendapatan gabungan RM22.4 bilion, menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick ketika merasmikan program Promosi Koperasi (Maskop) 2023, baru-baru ini. - DagangNews.com