Aneka Jaringan julung kali tersenarai dalam ACE Market | DagangNews Skip to main content

Aneka Jaringan julung kali tersenarai dalam ACE Market


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Syarikat pembinaan, Aneka Jaringan Holdings Berhad (Aneka Jaringan) buat julung kalinya tersenarai dalam ACE Market oleh Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) hari ini.

Saham syarikat itu mula didagangkan pada pukul 9 pagi ini di bawah nama ANEKA dan kod 0226.

Harga tawaran awam awal (IPO) Aneka jaringan bernilai RM0.33 sesaham, yang diterjermahkan ke dalam modal penyenaraian pasaran bernilai RM177.57 juta.

Bercakap pada majlis penyenaraian secara maya itu, Pengerusi Eksekutif Bebas Aneka Jaringan, Datuk Tan Gim Foo berkata, IPO berkenaan merupakan hasil daripada usaha dan komitmen pasukannya sejak beberapa tahun lalu untuk merealisasikan visi tersebut.

"Seperti mana kepakaran kami dalam asas untuk permulaan kukuh pelanggan, IPO ini memberikan kami sebuah platform untuk mencapai aspirasi dan mempercepat rancangan pengembangan syarikat.

"Saya yakin bahawa pasukan kami akan meningkatkan prestasi lebih tinggi ketika kami melangkah lebih jauh ke peluang serantau,“ katanya.

IPO Aneka Jaringan menarik minat yang tinggi dengan penawaran kepada masyarakat Malaysia dilanggan sebanyak 12.68 kali.

Dianggarkan kira-kira RM46.16 juta diraih menerusi IPO tersebut di mana RM17.30 juta akan digunakan untuk membeli pelantar penggerudian putar dan kren perangkak.

Sebanyak RM24.26 juta pula digunakan untuk pembayaran balik pinjaman, manakala RM4.6 juta diperuntukkan bagi menampung perbelanjaan IPO.

Dalam pada itu, Alliance Investment Bank Berhad pula merupakan Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan untuk IPO Aneka Jaringan. – DagangNews.com