KUALA LUMPUR 17 Nov - Sempena hari pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November 2022, syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk membantu pengguna menikmati perjalanan yang selesa.
LPT menerusi kenyataan di Facebook berkata, pengguna disaran mematuhi TTA bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya.
Menurutnya, pengguna juga perlu memastikan untuk masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan mod yang sama.
"Sila pastikan anda masuk dan keluar lebuh raya menggunakan mod yg sama. Contohnya, masuk menggunakan Touch ’n Go, keluar juga menggunakan Touch ’n Go.
"Selamat menunaikan tanggungjawab anda sebagai warganegara," katanya.
Tambahnya, pengecualian tol di Lebuhraya KLK dan LPT1 akan bermula pada pukul 12.01 pagi pada 18 November sehingga 11.59 malam pada 19 November.
"Sila rancang perjalanan anda demi keselesaan semua," katanya. - DagangNews.com