Anil Singh Gill dilantik sebagai Ketua Pegawai Kemampanan Silverlake Axis | DagangNews Skip to main content

Anil Singh Gill dilantik sebagai Ketua Pegawai Kemampanan Silverlake Axis

Anil Singh Gill dilantik sebagai CSO Silverlake Axis.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 10 Jan - Silverlake Axis Ltd (SAL) mengumumkan pelantikan Anil Singh Gill sebagai Ketua Pegawai Kemampanan (CSO) yang bertanggungjawab memimpin dan menyelia usaha kemampanan syarikat merentasi semua bidang perniagaan.

 

Berpengalaman lebih 20 tahun dalam perkhidmatan kewangan dan perbankan, Anil pertama kali menyertai SAL empat tahun lalu sebagai ketua pegawai risiko kumpulan dan naib presiden eksekutif kanan kewangan strategik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SAL, Andrew Tan, berkata, pengalaman dan kepakaran Anil dalam industri perbankan dan landskap amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sudah pasti akan membantu Kumpulan mencapai objektif kemampanan.

 

"Pengurusan SAL berharap dapat bekerjasama dengan Anil untuk mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang kepentingan kami," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Pelantikan Anil sebagai CSO juga bakal mengukuhkan komitmen Kumpulan terhadap pengwujudan nilai perniagaan jangka panjang dan bertanggungjawab dengan memastikan bahawa inisiatif masa depannya sejajar dengan tonggak kemampanan yang diwujudkan dalam Laporan Tahunan ESG SAL.

 

Silverlake Axis merupakan penyedia penyelesaian fintech dan perbankan digital yang tersenarai di Papan Utama Singapore Exchange yang terkemuka dan beribu pejabat di Malaysia.

 

Sementara itu, Anil berkata,  beliau akan terus berusaha ke arah memajukan matlamat ESG SAL dan pada masa sama teruja dengan peranan baharu ini.

 

"Sejak empat tahun lalu, saya mendapat keistimewaan untuk bekerja dengan pasukan yang begitu hebat dan saya berharap untuk terus bekerjasama. dengan mereka untuk memastikan bahawa ESG disepadukan ke dalam proses membuat keputusan syarikat. 

 

"Sebagai seorang jurubank yang berpengalaman, saya juga komited untuk memastikan usaha kemampanan kami sejajar dengan landskap ESG industri perbankan," jelasnya.- DagangNews.com