Peningkatan harga gula cabaran utama buat F&N berbanding koko - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Peningkatan harga gula cabaran utama buat F&N berbanding koko - MIDF Research

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Mei - Kenaikan harga gula memberi kesan yang lebih besar buat operasi Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) Malaysia berbanding peningkatan harga beras, gelatin dan serbuk koko.

 

Menurut MIDF Research, walaupun beras merupakan bahan utama dalam produk Ketupat Sri Nona manakala gelatin dan serbuk koko digunakan terutamanya untuk produk Cocoaland, namun kedua-dua jenama itu menyumbang kira-kira 6% daripada pendapatan keseluruhan F&N.

 

Bagaimanapun kata firma penyelidikan itu, pihak pengurusan F&N dalam taklimat keputusan kewangan baru-baru ini cenderung kepada langkah mengoptimumkan kos berbanding menaikkan harga. 

 

"Walaupun beberapa kos input meningkat, normalisasi kebanyakan bahan mentah dan kenaikan harga yang dilakukan sebelum ini pada FY22-23 telah mengimbangi kesan tersebut. 

 

"Sebagai contoh, sudah terdapat kenaikan harga ketupat dan gummies pada FY23," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Lonjakan harga global juga menyebabkan kerajaan menyalurkan insentif kewangan kepada syarikat pengeluar gula bagi memastikan bekalan berterusan dan mengekalkan harga gula kepada pengguna.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Insentif kewangan kepada syarikat pengeluar gula langkah sementara, kata Amir Hamzah

 

Sementara itu, Firma penyelidikan itu juga positif terhadap prospek F&N terutamanya disokong oleh pengambilan minuman di luar rumah yang kukuh dan kembalinya pelancong ke Thailand dan Malaysia .

 

Selain itu, katanya, kos input bahan mentah tertentu juga telah mengalami normalisasi dan F&N juga menerima faedah daripada peralihan dalam keutamaan pengguna Malaysia ke arah jenama tempatan. 

 

"Kami juga menghargai inisiatif kumpulan dalam ladang tenusu integrasi untuk meningkatkan bekalan sendiri (penjimatan kos) dan untuk memenuhi pasaran susu segar di Malaysia," jelasnya.

 

MIDF Research sehubungan itu mengekalkan saranan 'Beli' saham F&N dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM37.00 sesaham.

 

"Kami tidak membuat sebarang perubahan kepada ramalan pendapatan kami. Harga sasaran kami adalah berdasarkan PER tidak berubah sebanyak 22.6x yang dihubungkan kepada EPS FY24F yang tidak berubah sebanyak 163.6 sen," ujarnya. - DagangNews.com