KUALA LUMPUR 21 Jun - Ann Joo Resources Bhd menerusi Ann Joo Metal Sdn Bhd dan rakan konsortiumnya, PT Lumintu Insan Mandiri menerima kontrak bernilai RM297.9 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi pembinaan stesen bekalan elektrik Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak itu diberikan oleh Tenaga Switchgear Sdn Bhd dan diterima pada 14 Jun 2024 serta tertakluk kepada syarat khas, yang perlu dipenuhi dalam tempoh yang ditetapkan.
Katanya, konsortium itu diberi masa seminggu untuk memberikan penerimaan penuh dan pada 20 Jun 2024 telah menyempurnakan surat pengesahan penerimaan.
Ia berkata stesen bekalan terlibat ialah FS03-Sg Tong, Terengganu, FS04-Merchang, Terengganu, FS05-Kemasek, Terengganu, FS07-Gambang, Pahang, dan FS08 -Maran, Pahang.
"Projek itu dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mei 2026," katanya.
Ann Joo berkata projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan 31 Disember 2025. - DagangNews.com