Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Dis. - Anora Agency Sdn. Bhd. (Anora) menandatangani perjanjian bersama anak syarikat OpenSys (M) Berhad (OpenSys) iaitu OpenSys Technologies Sdn. Bhd. untuk menawarkan penyelesaian insurans pertama di platform buySolar.
buySolar yang mula dilancarkan pada Februari 2020 itu adalah platform dalam talian sehenti yang pertama di Malaysia.
Platform tersebut menawarkan perkhidmatan pemasangan solar hujung ke hujung bermula dari aplikasi dalam talian, anggaran kos, pembiayaan hingga ke perkhidmatan selepas jualan.
Melalui kerjasama itu, Anora bakal menawarkan produk insurans yang direka khas iaitu SolarPro di platform buySolar.
Ketua Pegawai Eksekutif Anora, Samuel Soon berkata, dengan penggunaan PV solar yang semakin meningkat di Malaysia dan kepesatan dunia digital masa kini, Anora kini mampu menawarkan pemilik PV akses mudah untuk perlindungan yang diperlukan untuk pelaburan solar melalui platform tersebut.
SolarPro direka khas untuk pemilik sistem Fotovoltaik (PV) solar kediaman, komersial dan industri.
SolarPro menawarkan perlindungan komprehensif yang merangkumi kerugian atau kerosakan kepada sistem PV solar akibat kerosakan berniat buruk, kecurian atau kilat, serta kerosakan dari peranti atau artikel dari kapal terbang atau udara yang terjatuh, kebakaran, letupan, gempa bumi dan malapetaka semulajadi yang lain, banjir, tanah runtuh, paip air bocor dan tangki air melimpah, dan banyak lagi.
Selain itu, SolarPro juga akan memberi pampasan kepada orang yang diinsuranskan untuk kehilangan pendapatan atau simpanan ketika sistem tidak beroperasi yang merupakan sebuah manfaat yang ditawarkan secara eksklusif oleh Anora.
Platform buySolar juga memperkenalkan pengguna PV solar komersial atau kediaman dengan pihak berkepentingan tenaga solar yang berkenaan melalui titik sentuh.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad dan Allianz General, Zakri Khir memberitahu, sebagai penanggung insurans, pihaknya berada di posisi yang sempurna untuk merapatkan jurang perlindungan dalam ekosistem PV solar dan sokongan kepada tenaga lestari di Malaysia.
"Dengan berkerjasama dengan Anora untuk menawarkan SolarPro, kami kini boleh membantu meringankan kebimbangan pemilik PV solar komersial dan kediaman iaitu perlindungan.
"Oleh itu, pengguna buySolar kini boleh berasa selamat dengan mengetahui bahawa usaha mereka dalam tenaga yang boleh diperbaharui dilindungi dengan baik,” jelasnya lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Opensys Technologies, Luke Sebastian berkata, sangat tepat untuk pihaknya mengalu-alukan Allianz General melalui Anora Agency sebagai penyedia insurans pertama untuk buySolar.
"Ini selari dengan tunggak pengalaman pelanggan buySolar, iaitu kemudahan permintaan dan pilihan yang banyak.
"Dengan setiap rakan kongsi dan penyedia perkhidmatan yang berkerjasama untuk platform buySolar, kami tahu kami berada di satu langkah yang lebih dekat untuk membangunkan kumpulan peneraju tenaga yang boleh diperbaharui di Malaysia, mengetuai kitaran yang akan berterusan memacu penggunaan PV solar untuk kediaman dan perniagaan," jelas beliau lagi. - DagangNews.com