Apex Securities menilai saham Seni Jaya pada 74 sen disokong prospek jangka panjang dalam industri iklan, hiburan | DagangNews Skip to main content

Apex Securities menilai saham Seni Jaya pada 74 sen disokong prospek jangka panjang dalam industri iklan, hiburan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Dis - Apex Securities menilai saham Seni Jaya Corporation Bhd dengan harga sasaran (TP) 74 sen sesaham dengan menambat nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 12 kali kepada pendapatan sesaham (EPS) FY25F pada 6.1 sen.

 

P/E yang diperuntukkan mewakili diskaun kepada P/E telekomunikasi dan media hadapan Bursa Malaysia bagi 2024 pada 20.6 kali, disebabkan permodalan pasaran kumpulan yang lebih kecil.

 

Firma penyelidikan itu berkata Seni Jaya disukai kerana kedudukannya yang mantap dalam industri pengiklanan dan yakin terhadap prospek perniagaan dalam jangka panjang, memanfaatkan revolusi industri papan iklan digital (DOOH) dan meletak kehadiran mereka ke dalam industri hiburan yang akan mewujudkan kesan sinergi.

 

“Skrin digital memberikan fleksibiliti untuk memaparkan kandungan dinamik dan interaktif, termasuk video, animasi dan kemas kini masa nyata. Ini memikat perhatian penonton dan mencipta pengalaman pengiklanan yang lebih menarik.

 

“Di samping itu, penggunaan DOOH disertai dengan revolusi infrastruktur digital dan peningkatan kemampanan melalui penggunaan paparan LED,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Selain itu, Apex Securities berkata Seni Jaya bercadang untuk membelanjakan RM20.8 juta dalam sembilan projek pada 2024 untuk mengembangkan kehadiran mereka dan mewujudkan jejak di seluruh Malaysia.

 

Jelasnya, ini membolehkan kumpulan meningkatkan keterlihatan dan pengiktirafan jenama, sambil berpotensi membesarkan pangkalan pelanggan.

 

“Kami menganggap bahawa langkah itu akan mengukuhkan kedudukan kumpulan sebagai salah satu syarikat pengiklanan terkemuka di Malaysia, meningkatkan pendapatan dalam jangka masa panjang,” tambahnya.

 

Firma itu turut yakin dengan langkah kumpulan itu menceburi industri hiburan, di mana selain mengurangkan risiko kebergantungan kepada aliran pendapatan tunggal, kedua-dua segmen pengiklanan dan hiburan akan saling melengkapi dan mewujudkan hubungan simbiotik.

 

Tambahnya, bidang utama hubungan perniagaan boleh diwujudkan melalui penempatan produk, penajaan dan perkongsian, promosi silang dan pembangunan kandungan berjenama.

 

Setakat pukul 4:23 petang ini, saham Seni Jaya didagang tinggi 1 sen atau 2% pada 51.5 sen dengan permodalan pasaran berjumlah RM110 juta.  - DagangNews.com